Khamis, 26 Oktober 2017 | 3:31pm
Nur Raisha Aufa yang disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan darahnya dirawat di ICU, Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, pada Jun dan Ogos lalu berikutan paru-parunya yang terlalu lemah. - Foto ihsan keluarga

Bayi menderita paru-paru akibat asap rokok

BATU PAHAT: Seorang bayi berusia sembilan bulan di Kampung Baru Sri Gading, di sini, menderita akibat kerosakan paru-parunya, selain terpaksa dikuarantin di rumahnya sehingga berusia empat tahun akibat asap rokok.

Bayi comel, Nur Raisha Aufa Mohd Najib, yang disahkan pakar menghidap jangkitan kuman di paru-paru dan darah, juga diarahkan doktor untuk tidak berada di luar rumah mahupun di kawasan orang ramai berikutan paru-parunya yang lemah dan terdedah pada jangkitan.

Ibunya, Nur Farahani Hamdan, 25, berkata bayinya itu juga sudah dua kali dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat akibat sesak nafas.

Katanya, bayinya mula dikesan sukar bernafas seperti biasa pada Aidilfitri lalu selepas diserang demam panas dan selsema menyebabkan mereka sekeluarga membawanya ke HSNI.

"Keadaan Asha ketika itu sangat kritikal sehingga terpaksa dimasukkan ke ICU selama dua minggu kerana paru-parunya dikesan oleh doktor berada dalam keadaan sangat lemah. Alhamdullilah Asha pulih selepas dirawat di ICU.


Nur Raisha Aufa Mohd Najib, 9 bulan, yang dipangku ibunya, Nur Farahani Hamdan, 25, kini tidak dibenarkan berada di luar rumah dan tempat orang ramai sehingga usianya empat tahun bagi mengelakkan paru-parunya terkena jangkitan kuman kini hanya berkurung di rumah mereka di Kampung Baru, Sri Gading. - Foto ihsan keluarga

"Namun Ogos lalu, keadaan Asha kembali buruk selepas demam dan selsema sehingga terpaksa dimasukkan ke ICU HSNI selama seminggu dan pelbagai ujian dilakukan bagi mengesan keadaan paru-parunya yang lemah akibat jangkitan, malah pakar turut mengesan jangkitan kuman pada darahnya.

"Selepas menjalani pelbagai ujian termasuk analisis darahnya, pakar menyatakan punca paru-paru Asha lemah dan sering terkena jangkitan kuman sehingga tidak boleh bernafas adalah disebabkan asap rokok sehingga doktor mengeluarkan arahan supaya tidak lagi dibawa keluar rumah dan di tempat orang ramai sehingga usianya mencecah empat tahun.

"Pakar turut mengarahkan kami mengambil empat vaksin khas untuk paru-paru, batuk, demam dan selsema Asha di hospital swasta kerana tidak mempunyai bekalan vaksin berkenaan. Namun kami tidak mampu kerana suami hanya bekerja sebagai Pekerja Am dan saya tidak bekerja," katanya kepada BH ketika ditemui di rumahnya.

Nur Farahani berkata, bulan hadapan bayinya juga perlu menjalani ujian darah semula bagi memastikan keadaan kesihatan bayinya stabil berikutan dibimbangi akan dijangkiti kuman lagi selepas ini.

Katanya, jika bayinya dijangkiti kuman lagi selepas ini, doktor memutuskan untuk menebuk paru-paru Asha dan bayinya itu perlu bergantung kepada alat pernafasan khas bagi memastikan organ pernafasannya stabil.

19781 dibaca
Berita Harian X