Jumaat, 27 Oktober 2017 | 2:42pm
PAMERAN Jalan Merdeka yang mengetengahkan sejarah kemerdekaan negara dilanjutkan sehingga 31 Disember ini berikutan sambutan menggalakkan.- Foto BERNAMA

Pameran Jalan Merdeka dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Pameran Jalan Merdeka yang mengetengahkan sejarah kemerdekaan negara dilanjutkan sehingga 31 Disember ini berikutan sambutan menggalakkan.

Penganjurnya, Asian Heritage Museum Sdn Bhd (Asian Heritage), berkata pameran bertemakan Mengembara Laluan Kemerdekaan, yang diadakan di Carcosa Seri Negara itu mendapat pujian dan maklum balas positif pengunjung.

Dalam kenyataannya kepada BH, Asian Heritage menyebut pihaknya menerima banyak permintaan supaya pameran itu dilanjutkan.

"Atas permintaan ramai, pameran ini akan dilanjutkan, malah mungkin terus disambung lagi selepas 31 Disember ini," katanya.

Dalam kenyatannya kepada BH, Asian Heritage menyebut Jalan Merdeka memenuhi misi mempromosikan patriotisme, perpaduan nasional dan sejarah Malaysia.

"Kami percaya Jalan Merdeka sudah mencapai tahap global tinggi yang paling pelbagai dan paling banyak aktiviti budaya, warisan dan alam semula jadi di satu tempat, dalam masa yang singkat," katanya.

Pameran Jalan Merdeka dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada 31 Ogos lalu.

Pameran Jalan Merdeka dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama bermula di bangunan dalaman Carcosa, yang dibina oleh Sir Frank Swettenham sebagai kediaman rasminya pada 1896.

Bahagian kedua pameran pula terletak di bangunan luar Seri Negara, dulunya dikenali sebagai rumah Raja, yang dibina pada tahun 1913.

Pameran itu mendapat kerjasama Jabatan Muzium Malaysia, Arkib Negara, Filem Negara dan Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (FINAS), serta New Straits Times.

Ia dibuka bermula pada jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook jalan1957 dan Instagram jalanmerdeka.

Berita Harian X