Jumaat, 27 Oktober 2017 | 5:26pm
PENIAGA perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Aminuddin Sukri menyusun sebahagian produk makanan hasil laut di kedainya dekat Tanjung Lumpur.- Foto fail NSTP/Luqman Hakim Zubir
PENIAGA perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Aminuddin Sukri menyusun sebahagian produk makanan hasil laut di kedainya dekat Tanjung Lumpur.- Foto fail NSTP/Luqman Hakim Zubir

PKS sasar sumbang 41 peratus KDNK

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi mencapai matlamat itu, kerajaan menampilkan lima langkah perlu diambil PKS menerusi pembentangan Bajet 2018.

"Pertama, RM7 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) iaitu RM5 bilion untuk modal kerja dan RM2 bilion pinjaman dengan 70 peratus jaminan kerajaan bagi sektor perkhidmatan, termasuk Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

"Kedua, dalam komitmen kerajaan untuk mengautomasikan proses pengeluaran dan mengurangkan penggajian pekerja asing, satu jumlah besar diberi buat julung kalinya iaitu RM1 bilion dengan pinjaman 70 peratus jaminan kerajaan menerusi SJPP," katanya.

Langkah ketiga, katanya, saiz dana Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah turut ditambah RM1 bilion, menjadikan saiz dana RM2.5 bilion dan diberi subsidi dua peratus ke atas kadar keuntungannya.

"Keempat, sejumlah RM200 juta bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp, manakala yang kelima hampir RM82 juta bagi pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi.

"Kita turut memperuntukkan RM500 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), jumlah terbesar pernah diberi," katanya.

Berita Harian X