Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:08pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

Laluan lancar capai status negara maju

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yakin Bajet 2018 dapat mewujudkan asas ekonomi yang kukuh dalam membawa Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq, berkata NCIA memuji usaha kerajaan meletakkan kepentingan rakyat dalam bajet kali ini.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) mengotakan janjinya untuk memberi penekanan terhadap keperluan asas rakyat.

"Antara agenda utama kerajaan adalah membantu rakyat memastikan kelangsungan perkembangan ekonomi.

"Bidang keusahawanan banyak diberi penekanan menerusi langkah membantu syarikat baharu dan perusahaan kecil sederhana (PKS). Usaha ini dilihat membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup," katanya di sini, hari ini.

Katanya, Program Transformasi Negara (NTP) menerusi komponen utama Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilihat memberikan hasil yang hebat.

"Kejayaan itu akan terus meningkatkan prestasi dan asas ekonomi negara. Ini jelas terbukti menerusi kerancakan keluaran domestik menyeluruh dan penambahan pendapatan melalui Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)," katanya.

NCER juga berjaya merekodkan pembangunan sebanyak 83 peratus setiap tahun dalam pelaburan pembinaan yang diluluskan pada pertengahan pertama 2017.

Redza berkata, pengumuman Insentif Khas Cukai untuk NCER dan pembangunan bertaraf dunia akan mengukuh serta mengembangkan rangkaian pengeluaran serantau, di samping rantaian pengeluaran produk dan perkhidmatan.

"Rangkaian berkenaan akan memperbaiki produk, persaingan dan merangsang aktiviti ekonomi, pelaburan serta perdagangan.

"Secara asas, perhubungan dan infrastruktur sempurna membolehkan semua daerah mengecapi faedah daripada peruntukan yang ditambah baik, di samping pembahagian hasil, peruntukan perkhidmatan komersial dan awam lebih baik," katanya.

Berita Harian X