Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:42pm
UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM).

UiTM komited capai sasaran 250,000 pelajar

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) komited menyahut seruan kerajaan untuk mencapai sasaran kemasukan 250,000 pelajar menjelang tahun 2020.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata Bajet 2018 cukup inklusif kerana mengambil kira pelbagai lapisan masyarakat sedia ada di Malaysia.

"UiTM menyambut baik peruntukan diberikan kepada universiti, sekali gus membuktikan komitmen jitu ke arah pemerkasaan pendidikan anak bangsa.

"Melalui bajet ini, saya yakin hasrat kerajaan untuk mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan dapat direalisasikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Melalui Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion kepada UiTM bawah Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB).

Melalui dasar itu juga, kerajaan menambah bilangan kemasukan pelajar ke UiTM kepada lebih 165,000 dengan sasaran mencapai 250,000 pelajar menjelang tahun 2020.

UiTM sebagai institusi Bumiputera menunjukkan pencapaian membanggakan apabila berjaya melahirkan lebih 700,000 graduan Melayu dan Bumiputera.

Peruntukan itu pertama kali diberikan kepada UiTM dalam usaha kerajaan untuk terus memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera menjadi agenda nasional sejajar dengan masyarakat Bumiputera yang kini menghampiri 70 peratus daripada keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia.

Sejak 2009, pelbagai inisiatif besar bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan, malah berjaya melahirkan hampir 17,000 bakat profesional Bumiputera, termasuk dalam bidang perakaunan dan kejuruteraan melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Berita Harian X