Jumaat, 27 Oktober 2017 | 9:32pm

Swasta wajib menyumbang untuk SL1M

KUALA LUMPUR: Syarikat swasta yang mendapat kontrak kerajaan diwajib memperuntukkan kira-kira satu peratus daripada nilai projek untuk Skim Latihan Satu Malaysia (SL1M).

Ia bagi memastikan skim yang memberi latihan kepada graduan dapat diteruskan dan ditambah baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan meneruskan SL1M dengan peningkatan seramai 5,000 graduan daripada 25 perantis pada tahun depan.

Beliau berkata, sejak diwujudkan, SL1M, sudah melatih lebih 138,000 graduan.

"Kerajaan akan mewujudkan pusat sehenti yang menggabungkan agensi seperti JobsMalaysia, SL1M, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di pusat transformasi bandar (UTC) untuk menyediakan khidmat nasihat profesional bagi mendapatkan pekerjaan serta latihan.

"Bagi mencungkil bakat terbaik negara, kerajaan akan mencipta 'talent file' program National Leaders Circle di bawah Talentcorp bagi mengenal pasti dan menyenarai pendek bakat pimpinan yang sesuai dan tepat untuk mengisi jawatan penting dan tertinggi," katanya.

Beliau berkata, program temuduga terbuka oleh unit SL1M juga diteruskan dengan peruntukan RM40 juta.

150 dibaca
Berita Harian X