Jumaat, 27 Oktober 2017 | 10:31pm
PLAZA Tol Batu Tiga, Shah Alam. - Foto BERNAMA

Pemansuhan tol sudah lama ditunggu

SHAH ALAM: Pemansuhan dua tol iaitu Tol Batu Tiga dan Tol Sungai Rasau berkuatkuasa Januari tahun hadapan disambut baik oleh penduduk serta pengguna laluan berkenaan di Lebuhraya Persekutuan.

Azah Mohd Nasir, 37, berkata beliau gembira serta menyambut baik inisiatif kerajaan memansuhkan tol berkenaan yang dirasakan agak membebankan pengguna sepertinya.

"Saya bekerja sendiri dan saya kerap ke Kuala Lumpur untuk menghantar barang pelanggan dan ada ketika saya terpaksa berulang alik dua tiga kali dalam satu hari melalui tol Batu Tiga.

"Setiap bulan, saya akan membelanjakan lebih daripada RM100 untuk tol sahaja dan pemansuhan tol ini amat dinantikan oleh kami terutamanya penduduk Shah Alam dan Klang," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi pengguna tol, Zulhazmi Yusof, 47, berkata jarak antara kedua-dua tol yang dekat banyak menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk yang bekerja di Kuala Lumpur.

"Selangor adalah negeri yang paling banyak tol dan tindakan memansuhkan dua tol itu patut dilakukan sejak dahulu lagi.

"Bagaimanapun, sebagai penduduk Shah Alam saya gembira kerana akhirnya permintaan kami untuk memansuhkan tol berkenaan akhirnya menjadi kenyataan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap walaupun dua tol berkenaan dimansuhkan kadar tol di kawasan lain tidak mengalami kenaikan mendadak sehingga membebankan pengguna.

Pengumuman pemansuhan dua tol berkenaan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2018 petang tadi.

1124 dibaca
Berita Harian X