Jumaat, 27 Oktober 2017 | 10:56pm
TOL Batu Tiga.

BN Selangor sambut baik pemansuhan tol

SHAH ALAM: Pengumuman pemansuhan dua tol di Lebuhraya Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut disambut baik Barisan Nasional (BN) dan UMNO Selangor.

Timbalan Pengerusi BN dan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, berkata pengumuman penghapusan tol di Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam dan Plaza Tol Sungai Rasau itu sememangnya disambut baik pengguna yang sering ulang alik melalui lebuh raya berkenaan.

"Suara dan keluhan penduduk Selangor terutamanya di Shah Alam dan Klang yang membangkitkan isu berkenaan sebelum ini dibawa dan diperjuangkan pemimpin setempat termasuk UMNO Bahagian Shah Alam.

"Ia sama sekali berbeza dengan pendekatan Kerajaan Negeri yang diterajui DAP dan PKR yang akan mempolitikkan semua perkara selain menuding jari kepada pihak lain jika tersepit dengan isu yang membabitkan rakyat.

"Ia jelas dalam beberapa isu seperti perobohan rumah dan kedai di Masjid Lapangan Terbang Subang tempoh hari sedangkan mereka kerajaan yang diberi mandat dan mampu bertindak mengikut slogan yang dicanang 'Negeri Berkebajikan'.

"Lihat sahaja janji DAP di Pulau Pinang yang kononnya mahu menghapuskan Tol Sungai Nyiur dalam memancing undi pada pilihan raya umum lalu namun sehingga kini tidak terlaksana. Tetapi ada pula hati memberi janji baharu mahu menghapuskan tol di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Justeru, Mat Nadzari berkata, pihaknya mengajak semua pihak untuk menilai manfaat dan kelebihan Bajet 2018 yang dibentangkan Najib petang tadi yang sudah pasti memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.

Katanya, ia termasuk dengan pengumuman pemansuhan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau.

"Terima kasih Kerajaan Persekutuan dan Datuk Seri Najib atas hadiah Tahun Baharu 2018 yang cukup bermakna selain penghargaan kerana mendengar keluhan dan memandang serius perjuangan pemimpin setempat dalam mendesak agar kutipan di dua tol berkenaan dihapuskan," katanya.

Berita Harian X