Jumaat, 27 Oktober 2017 | 11:58pm
MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto Rasul Azli Samad

 Bajet 2018 bersifat inklusif

 

KUALA LUMPUR: Bajet 2018 bersifat inklusif, bertanggungjawab dan komprehensif selain berpaksikan ke arah usaha meraih pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berterusan.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia berikutan bajet berkenaan menyentuh kebajikan semua lapisan masyarakat dari ibu kota hingga luar bandar dan mengambil kira projek kecil, sederhana dan besar.

 

Pada masa sama, katanya, tumpuan juga diberikan terhadap pelaburan infrastruktur yang menjadi pemangkin kukuh pertambahan jangka panjang ekonomi negara.

 

"Kerajaan terus komited melaksanakan projek dan program rakyat di bandar dan luar bandar melalui projek 'Central Spine Road', dengan RM230 juta diperuntukkan untuk tahun 2018.

 

"Ia membabitkan jajaran Raub ke Bentong, dan jajaran Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong Pahang.

 

"Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping juga sedang dibina dengan kos RM5 bilion. Ini bagi meningkatkan jaringan perhubungan kampung, pekan dan bandar.

 

"Dalam menjayakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) pula, peruntukan berjumlah RM2.5 bilion diberi dalam tempoh dua tahun dengan pecahan RM500 juta untuk sekolah daif di Semenanjung Malaysia, RM1 billion masing-masing di Sabah dan dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain itu, Fadillah berkata kerajaan terus mengotakan janji menerusi pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo (LPB) membabitkan kos perbelanjaan RM2 bilion.

 

"11 pakej pembinaan sudah diagihkan di Sarawak manakala lima daripada 35 pakej fasa pertama dianugerahkan di Sabah.

 

"Turut diperuntukkan RM1.1 bilion bagi projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu jalan kampung, surau serta pasar.

 

Pada masa sama, katanya, pengumuman pemansuhan tol di lokasi terpilih pastinya menggembirakan hati rakyat tempatan.

 

"Tol terbabit ialah tol di Batu Tiga, Shah Alam, tol Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan tol di Eastern Dispersal Link, Johor.

 

"Pemansuhan pembayaran tol ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018," katanya.

 

Berita Harian X