Sabtu, 28 Oktober 2017 | 1:26pm
AHMAD Azizi Ali

20,000 unit rumah RMR-FELDA mulai 2018

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bakal membina 20,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda (RMR-FELDA) dalam tempoh empat tahun bermula 2018 di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali, berkata projek perintis akan bermula di Terengganu dalam masa terdekat menggunakan sistem IBS.

Selain itu, katanya, pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.7 peratus bagi separuh pertama tahun ini juga memberi impak positif kepada penjualan rumah mampu milik, terutama dua program menerusi Perumahan SPNB iaitu Rumah Aspirasi Rakyat dan Rumah Idaman Rakyat yang dijual di bawah harga pasaran.

"Semua ini bertitik tolak daripada inti pati Bajet 2018 yang bersifat holistik dan komprehensif. Bajet kali ini adalah manifestasi keprihatinan Perdana Menteri mengenai soal perumahan dan kediaman.

"Dalam pembentangan bajet semalam, sebanyak 5,000 unit rumah RMR-FELDA selain pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat diperuntukkan sebagai tanggungjawab SPNB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Azizi berkata, peruntukan RM1 bilion kepada lima Koridor Utama seperti Wilayah Selatan Perak akan menggalakkan pembangunan mampan untuk wilayah terbabit dan seterusnya mengurangkan ketidakseimbangan geopolitik.

Peruntukan lain seperti RM6.5 bilion untuk penyediaan Infra-Rakyat berkualiti dan RM200 juta untuk sistem bekalan air, menaik taraf jalan serta lampu jalan di FELDA seluruh negara adalah inisiatif dalam memastikan isu keselesaan hidup generasi baharu FELDA terjamin.

571 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »