Sabtu, 28 Oktober 2017 | 2:01pm
NUR Jazlan ketika hadir program gotong-royong perdana RPSI 2017 UMNO cawangan Rumah Pangsa Sri Indah di Rumah Pangsa Sri Indah, Tampoi Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
NUR Jazlan ketika hadir program gotong-royong perdana RPSI 2017 UMNO cawangan Rumah Pangsa Sri Indah di Rumah Pangsa Sri Indah, Tampoi Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Ambil terus amah langkah bijak

JOHOR BAHRU: Inisiatif kerajaan mengumumkan majikan diberi pilihan mengambil pembantu rumah dari sembilan negara sumber, menangkis dakwaan bahawa kerajaan menggalakkan pemerdagangan manusia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata sebelum ini isu ejen mengenakan caj yang terlalu tinggi kepada majikan membawa kepada tuduhan kerajaan menggalakkan pemerdagangan manusia.

Katanya, dakwaan itu dibuat berikutan ejen yang mengaut keuntungan besar daripada pengurusan pengambilan pekerja asing.

"Ini langkah baik untuk menangkis tohmahan bahawa kerajaan menggalakkan aktiviti pemerdagangan manusia yang turut menjadi isu utama beberapa negara lain di dunia.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membenarkan majikan mengambil orang gaji secara langsung kerana banyak keluhan timbul daripada majikan yang terpaksa membayar bayaran tinggi bagi pengurusan pekerja asing," katanya.

NUR Jazlan (empat dari kiri) bersama penduduk melihat longgokkan sampah serta barang barang terpakai yang dibuang dikawasan rumah pangsa ketika hadir program gotong-royong perdana RPSI 2017 UMNO cawangan Rumah Pangsa Sri Indah di Rumah Pangsa Sri Indah, Tampoi Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan dan menghadiri program gotong-royong perdana di Rumah Pangsa Seri Indah, di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata, bayaran levi atau bayaran lain dikenakan Jabatan Imigresen untuk mengeluarkan permit pembantu rumah jauh lebih murah berbanding dikenakan ejen.

"Bayaran dikenakan Imigresen termasuk levi dan sebagainya belum diperincikan lagi buat masa ini, tetapi tidak akan melebihi RM3,000," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan majikan diberi pilihan mengambil pembantu rumah dari sembilan negara sumber dan pengambilan itu tanpa menerusi ejen.

Majikan boleh memohon visa pembantu rumah secara dalam talian daripada Jabatan Imigresen.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X