Sabtu, 28 Oktober 2017 | 2:20pm

'Jangan ragu ambil pelatih SL1M'

KUALA LUMPUR: Lebih ramai graduan akan ditawar pekerjaan, susulan langkah mewajibkan syarikat yang mendapat tender kerajaan menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata langkah itu ibarat bayaran zakat atau cukai bagi syarikat berkenaan yang perlu dikembalikan semula kepada rakyat.


KETUA Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bermula 1 Ogos lalu, katanya, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat pekeliling menetapkan syarikat yang mahu atau membida tender projek kerajaan, mengambil pelatih SL1M.

"Banyak syarikat yang mendapat tender projek kerajaan masih teragak-agak menyertai SL1M sedangkan itu syarat wajib.

"Justeru, bila dapat tender, mereka perlu menyumbang semula kepada masyarakat. Contohnya, tender RM10 juta, cuma satu peratus daripada nilai itu digunakan sebagai kontrak membayar elaun pelatih SL1M.

"Satu peratus itu bukan dalam bentuk dana yang akan masuk ke 'poket' SL1M, sebaliknya pengiraan nilai kontrak untuk membayar elaun pelatih SL1M," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norashikin berkata, pihaknya cuma bertanggungjawab mengurus dan mencari graduan untuk syarikat yang mahukan pelatih SL1M.


ANTARA graduan yang hadir pada Program Temu Duga Kerjaya SL1M Peringkat Zon Selatan 2016, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. - Foto hiasan

Sehingga kini, ada lebih 300 syarikat menyertai SL1M dan beliau yakin jumlah itu meningkat pada masa depan.

Pada masa sama, pihaknya agresif mengenal pasti syarikat yang mendapat tender bernilai RM10 juta ke atas daripada kerajaan untuk menyertai SL1M.

"Syarikat kecil juga dialu-alukan menyertai SL1M kerana ia bukan untuk syarikat besar sahaja," katanya.

261 dibaca
Berita Harian X