Sabtu, 28 Oktober 2017 | 5:25pm
TOL Batu 3. - Foto Faiz Anuar

Mansuh tol: Jimat RM200 sebulan

SHAH ALAM Pemansuhan Tol Batu 3 dan Sungai Rasau menggembirakan pengguna yang melalui kedua-dua tol itu pada setiap hari. 

Kakitangan swasta, Zana Zainal, 35, berkata dia perlu membayar RM4.20 untuk perjalanan pergi dan balik dari rumahnya di Klang ke tempat kerja di Kuala Lumpur sejak 10 tahun lalu. 

"Ia belum termasuk dengan duit untuk membayar tol pada hari minggu. Setiap bulan saya perlu memperuntukkan kira-kira RM200 hanya untuk bayaran tol. 

"Mungkin nilai RM200 adalah kecil bagi orang lain, tetapi bagi saya ia adalah nilai yang sangat besar. Macam-macam boleh dilakukan dengan duit RM200. 

"Malah, pemansuhan tol itu juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Sebelum ini berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya waktu puncak, jadi saya harap tiada lagi masalah (kesesakan lalu lintas)," katanya kepada BH, hari ini. 

KAKITANGAN swasta, Zana Zainal. - Foto Ruwaida

Bagi Ameera Omer, 44, bermula tahun depan, perbelanjaan bulanan untuk membayar kedua-dua tol itu boleh digunakan untuk menampung keperluan tambahan keluarga. 

"Anggaran saya melalui Tol Batu Tiga adalah 12 kali seminggu dan enam kali seminggu bagi tol Sg Rasau. Itu penggunaan paling minimum. Saya menggunakan tol sejak 19 tahun lalu dari rumah saya di Seksyen 17 ke tempat kerja di Bandar Utama, Damansara. 

"Selepas ini, saya boleh menggunakan lebihan wang ini untuk simpanan atau membantu suami membeli barang keperluan rumah," katanya.

Berita Harian X