Sabtu, 28 Oktober 2017 | 5:56pm

Peniaga 'ambil kesempatan' naikkan harga

KUALA LUMPUR: Pengumuman pengurangan cukai pendapatan kepada 2.3 juta pembayar cukai terutamanya golongan pendapatan pertengahan (M40) adalah langkah positif dalam memberi ruang kepada rakyat menangani masalah inflasi.

Bagaimanapun, langkah itu dilihat bakal memberikan satu impak negatif dalam kenaikan harga barang kerana pengurangan cukai itu hanya menguntungkan sebelah pihak saja iaitu pengguna dan pembeli.

Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata peniaga dikhuatiri akan bertindak menaikkan harga barangan untuk mengambil faedah dari situasi itu.


PAKAR Ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

"Peniaga akan menggunakan pelbagai alasan terutamanya peningkatan permintaan menyebabkan harga barangan meningkat. Ini yang saya khuatir dan satu mekanisme perlu diteliti dalam perkara ini.

"Namun, secara dasarnya, pengurangan cukai bukan dibuat sewenang-wenangnya tetapi mengikut keperluan semasa. Itu adalah langkah bijak kerajaan. Golongan B40 dan M40 wajib dibela," katanya dalam satu temu bual.

Aimi Zulhazmi berkata, pengurangan cukai pendapatan itu juga tidak akan menjejaskan pendapatan hasil kerajaan kerana kurang daripada 10 peratus rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan.

Beliau yang juga Dekan Business School, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, kerajaan tidak terjejas kerana kutipan hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terus meningkat, lebih-lebih lagi apabila sistem kutipan GST bertambah baik dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas diperkenalkan.

"Ambil contoh di Singapura, negara itu mengambil masa dua tahun untuk memperkemaskan sistem GST. Malaysia lebih besar dari segi geografi dan kompleksitinya.

"Selain daripada GST, pendapatan kerajaan akan terus meningkat hasil kenaikan harga minyak melalui PETRONAS. Tahun lalu, harga minyak jatuh daripada paras tertinggi AS$120 setong ke AS$40 setong dan tahun ini, kembali kepada sekitar AS$55 hingga AS$60 setong.

"Ekonomi negara terus meningkat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) cemerlang pada suku kedua sebanyak 5.8 peratus, menjanjikan pertumbuhan yang baik untuk tahun 2017.

"Ekonomi global masih tak menentu tetapi pertumbuhannya masih sangat positif. Faktor ini menjanjikan kesudahan yang baik untuk Malaysia," katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2018 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20,000 hingga RM70,000.


PENIAGA dalam talian, Nurul Athirah Razali, 20, (kanan) bersama kakaknya, Siti Nur Fahimah Razali, 24, menyaksikan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi telefon pintar ketika berniaga di Kota Bharu, semalam. - Foto Syamsi Suhaimi
Berita Harian X