Sabtu, 28 Oktober 2017 | 5:57pm
TOL Batu Tiga. - Foto Roslin Mat Tahir

Jadual tol Batu Tiga, Sungai Rasau tamat 2038

 

KUALA LUMPUR: Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjelaskan, kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, sepatutnya dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2038.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, ia berdasarkan satu Perjanjian Konsesi yang disemak semula pada 2011 antara kerajaan dan PLUS.

Sehubungan itu, katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau bermakna, ia ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada perjanjian konsesi berkenaan.

Ia sekali gus menafikan dakwaan kononnya kutipan tol di kedua-dua tol berkenaan memang akan tamat pada tahun depan.

"Perjanjian Konsesi 2011 yang distruktur susulan penswastaan PLUS pada tahun sama, menyaksikan kutipan di semua plaza tol milik PLUS, termasuk Batu Tiga dan Sungai Rasau, diselaraskan.

"Selain itu, tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan, sama ada oleh kerajaan atau PLUS di semua lebuh raya milik syarikat ini sejak 2005," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selepas pengumuman pemansuhan dua tol itu serta dua lagi tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah serta  Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor semalam, tular dakwaan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau dijadualkan tamat pada 2018, sekali gus pemansuhan itu hanya 'helah' kerajaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut dilaporkan berkata, konsesi dua plaza tol itu sudah hampir tamat, seperti dipetik portal Malaysiakini, hari ini.

Kutipan tol Lebuhraya PLUS, termasuk di Batu Tiga dan Sungai Rasau pada asalnya dijadual berakhir pada 2018 susulan penstrukturan semula pada tahun 1999 dan 2002.

Bagaimanapun, selepas penstrukturan terbaru pada 2011, ia dilanjutkan sehingga 2038 bagi mengurangkan kesan kenaikan kadar tol kepada rakyat.

Sementara itu, menjawab mengenai persoalan kemungkinan pampasan perlu dibayar oleh kerajaan susulan pemansuhan tol itu, PLUS berkata perbincangan sedang berlangsung ketika ini dan satu pengumuman akan dibuat selepas mendapat maklumat daripada kerajaan.

11960 dibaca
Berita Harian X