Isnin, 30 Oktober 2017 | 4:14pm

Tiada rancangan lepaskan pegangan dalam PLUS

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melepaskan pegangan dalam PLUS Malaysia Bhd kepada Maju Holdings Sdn Bhd. Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya, memberitahu cadangan pengambilalihan PLUS oleh Maju Holdings Sdn Bhd perlu disokong oleh punca pendanaan yang jelas dan kukuh.

Selain itu, katanya aspek keupayaan operasi diambil kira dalam memastikan pengendali aset strategik negara itu tidak berdepan masalah kewangan sekiranya berlaku kejutan ekonomi atau keteruapan mata wang asing.

"Hal ini penting bagi memastikan kerajaan tidak perlu menyelamatkan ataupun dengan izin, 'bailout' PLUS sekiranya perkara tidak diingini terjadi.

"Kerajaan memandang serius akan kedudukan kewangan serta kemampuan entiti persendirian seperti Maju Holdings untuk membiayai cadangan pengambilalihan korporat ini," jelas jawapan itu.

Katanya, cadangan pengambilalihan itu juga tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut untuk tidak menaikkan caj tol selama beberapa tahun dan kos penyelenggaraan yang rendah.

"Ia juga perlu menepati keperluan kerajaan dan ini termasuk kemampuan operasi dan kewangan untuk mengurus lebuh raya utara selatan dalam jangka masa panjang," menurut jawapan bertulis itu.

Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan), meminta Menteri Kewangan nyatakan keputusan hasil daripada cadangan tawaran Maju Holdings untuk mengambilalih jumlah sebanyak RM36 bilion milik PLUS.

Ketika ini, UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing memegang 51 peratus dan 49 peratus kepentingan dalam PLUS.

Berita Harian X