Isnin, 30 Oktober 2017 | 4:33pm

Sultan Kedah terima darjah kebesaran Johor

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK1).

Penganugerahan terbabit dikurniakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Anak Bukit, di sini.

Sebelum itu, bacaan doa pembukaan dipimpin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadut diikuti istiadat mempersembahkan darjah berkenaan.

Doa penutup majlis kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang.

Berangkat sama, Datuk Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Abdul Hamid Thani dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Sarafudin Badlishah Tunku Sallehuddin serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sebaik selesai majlis penganugerahan, baginda berdua bersama Kerabat Diraja kedua-dua negeri berangkat ke Balai Penghadapan untuk sesi bergambar.

Selepas majlis santapan dan menandatangani Buku Lawatan Diraja di Anjung Istana, baginda berdua berangkat menziarahi makam Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah di Makam Diraja Langgar.

SULTAN Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah (kanan) berbual bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) oleh Tuanku Sultan Johor Kehadapan Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X