Isnin, 30 Oktober 2017 | 7:25pm
NORAINI Ahmad. - Foto Hairul Anuar Rahim

Jangan pinggirkan wanita kerana 90 hari cuti bersalin

KUALA LUMPUR: Majikan di negara ini diminta tidak meminggirkan pekerja wanita berikutan langkah kerajaan menetapkan cuti 90 hari untuk wanita bersalin bagi pekerja sektor swasta.

Saranan itu dikemukakan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bimbang peluang wanita untuk di ambil bekerja dinafikan majikan dengan penetapan cuti bersalin 90 hari itu.

Katanya, adalah diharapkan dengan penetapan cuti bersalin 90 hari itu, majikan tidak hanya tawarkan kerja pada orang lelaki saja dan enggan mengambil wanita bekerja.

"Saya bimbang selepas ini peluang untuk wanita bekerja terhad dengan kemudahan cuti ini Begitu juga dengan peluang pekerja wanita untuk naik pangkat dan gaji tidak dinafikan," katanya ketika berbahas Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini turut menyarankan Kementerian Sumber Manusia memantau pelaksanaan 90 hari cuti bersalin oleh sektor swasta supaya tidak timbul diskriminasi terhadap pekerja wanita.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana buat penetapan 90 hari bekerja itu, namun saya tidak mahu wujud diskriminasi terhadap pekerja berdasarkan gender," katanya.

Berita Harian X