Isnin, 30 Oktober 2017 | 7:49pm
Facebook Muslim Volunteer Malaysia di https://www.facebook.com/MuslimVolunteerMalaysia/

NGO sertai Misi Anak Muda Peduli Rohingya

KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia dari Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya melalui Misi Anak Muda Peduli Rohingya, bulan depan.

Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) dan Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ) menyasarkan membina 100 khemah pelarian Rohingya di kawasan Ukhia di Cox's Bazar, Bangladesh.

Mereka juga merancang menyalurkan bantuan makanan dan keperluan harian kepada sekurang-kurangnya 1,000 keluarga pelarian yang sedang dikenal pasti dengan rakan NGO tempatan.

MVM dan TSDBJ turut bekerjasama dengan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bagi menjayakan misi kemanusiaan sulung dua NGO belia itu.

Presiden MVM, Muhammad Jantan, berkata misi pihaknya dan TSDBJ sebelum ini tertumpu kepada golongan asnaf di Malaysia dan pelarian Syria.

Katanya, pelarian Rohingya amat memerlukan bantuan semua pihak, termasuk rakyat Malaysia kerana majoriti daripada mereka tidak mempunyai keupayaan memulakan kehidupan baharu di Bangladesh. 

"Saya saksikan sendiri keadaan pelarian Rohingya di sana (kem dan penempatan pelarian Rohingya di Balukhali, Thangkhali dan Kutupalong) amat teruk.

"Dari segi bantuan diterima juga agak kurang jika dibandingkan dengan pelarian Syria yang mendapat sokongan banyak pihak," katanya kepada BH, hari ini.

Minggu lalu, Muhammad dan dua lagi sukarelawan, iaitu Presiden TSDBJ, Musa Nuwayri dan sukarelawan MAHAR, Ahmad Zikri melihat sendiri keadaan pelarian di kawasan Ukhia di Cox's Bazar.

Misi Anak Muda Peduli Rohingya yang dijadualkan bermula 9 November ini menyasar menyalurkan bantuan makanan, khemah perlindungan, kit kebersihan, pendidikan dan keceriaan serta bantuan umum.

"Kami amat memerlukan sokongan semua pihak untuk bantu pelarian Rohingya," katanya menegaskan kedua-dua NGO menyasarkan mengumpul sekurang-kurangnya RM200,000 bagi tujuan berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook Muslim Volunteer Malaysia dan Tangisan Syria di Bumi Jordan.

Berita Harian X