Isnin, 30 Oktober 2017 | 7:50pm
ROSLIDA Ablah. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Isteri Ramli berlepas ke Tehran esok

KUALA LUMPUR: Isteri Ramli Abd Majid, rakyat negara ini yang meninggal dunia ketika mendaki Gunung Damavand, Iran akan berlepas ke Tehran, esok untuk proses tuntutan jenazah.

Roslida Ablah,42, akan ditemani abang Ramli, Abdul Razak,59; rakan arwah, Mohd Khafiz Bachok, 39, serta dua wakil Jabatan Sumber Manusia PROTON.

Mohd Khafiz berkata, urusan membawa pulang jenazah akan dilakukan secepat mungkin dan dijangka tiba di tanah air Sabtu ini.

"Sekarang ini, jenazah sudah selesai dibedah siasat di Hospital Amol dan dijangka dipindahkan ke hospital lain di Tehran.

"Pemergian kami adalah untuk memudahkan proses membawa pulang jenazah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Roslida ketika ditemui di rumahnya berkata, dia mahu melihat sendiri jasad suaminya buat kali terakhir sebelum dibawa pulang ke tanah air dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 14, Puchong.

"Saya difahamkan jasadnya ditemui dalam keadaan beku tetapi, tidak tahu tahap mana sebab itu saya nak lihat sendiri.

"Saya harap proses tuntutan jenazah ini akan berjalan lancar dan cepat dibawa pulang," katanya.

Pada masa sama, Roslida turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutama kepada pihak Kedutaan Malaysia di Iran, keluarga selain rakan arwah suami yang berusaha melakukan tiga misi bagi mencari suaminya sejak hari kehilangannya, pada 20 November tahun lalu.

Dalam kejadian itu, Ramli, 46, yang juga Ketua Jurutera Sistem PROTON dan seorang lagi pendaki, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, hilang di Gunung Damavand selepas terpisah daripada kumpulan pendaki lain.

Mereka adalah sebahagian daripada ahli kumpulan pendaki yang memulakan pendakian ke puncak ketika cuaca baik dari kem tiga pada ketinggian 4,200 meter pada awal pagi.

Hanya dua pendaki berjaya ke puncak, manakala pendaki lain termasuk Ramli dan Syed Redzuan diarahkan turun semula dari ketinggian 5,200 meter antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang kerana masa tidak mencukupi untuk sampai ke puncak.

Bagaimanapun, Ramli dan Syed Redzuan dikatakan bertekad menyertai seorang pendaki Turki untuk ke puncak sebelum mereka dilaporkan hilang.

Mayat Syed Redzuan ditemui enam hari selepas dilaporkan hilang oleh pasukan SAR di Yakhar Glacier. Dia dipercayai terjatuh dari ketinggian 4,100 meter.

Misi pencarian Ramli kemudian diteruskan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) serta operasi SAR secara solo Mencari Abang Ram yang diusahakan oleh pendaki, Khafiz Bachok bersama rakan, Muhamad Aliff Abdullah.

Julai lalu, misi ketiga mencari Ramli diteruskan oleh Khafiz bersama tiga pendaki dari Kelab Jelajah Alpine (KJA), iaitu Muhammad Illaham Ishak, 40; Azwawi Ismail, 38; dan Mohd Azraie Md Yusof, 34.

Khafiz yang turut mengetuai misi itu dilaporkan, berkata misi SAR berkenaan diteruskan kerana Tehran ketika itu memasuki musim panas manakala salji yang meliputi gunung berkenaan mula mencair.

Ia secara tidak langsung memudahkan kerja menjejaki Ramli di pergunungan berkenaan yang memfokuskan di kawasan timur Gunung Damavand bermula dari ketinggian 4,100 meter dari aras laut hingga 5,300 meter dari aras laut serta kawasan perkampungan berdekatan.

Berita Harian X