Selasa, 31 Oktober 2017 | 12:09pm
KERAJAAN meletak sasaran untuk memasarkan sekurang-kurangnya 100 unit simpanan stok (SKU) dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0. - Foto hiasan
KERAJAAN meletak sasaran untuk memasarkan sekurang-kurangnya 100 unit simpanan stok (SKU) dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0. - Foto hiasan

100 produk SKU dijual di KR1M 2.0

KUALA LUMPUR: Kerajaan meletak sasaran untuk memasarkan sekurang-kurangnya 100 unit simpanan stok (SKU) termasuk produk berjenama dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata sasaran itu dijangka dicapai menerusi kerangka strategi perniagaan baharu yang bakal diperkenal KR1M 2.0.

"Strategi ini bukan hanya untuk beberapa barang tetapi sekurang-kurangnya 50 daripada SKU yang kita akan jual dalam KR1M 2.0 adalah barangan yang dapat kerjasama dengan syarikat multinasional (MNC) seperti Nestle dan Coca Cola.

"Semua ini kita akan bincang supaya barangan keperluan seperti lampin dan susu bayi juga dapat dipasarkan pada harga lebih murah. Kita bukan hanya jual 50 SKU, sasaran kita melebihi 100 SKU," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah berkata, antara strategi pemasaran KR1M 2.0 adalah membuka lebih banyak premis jualan atau anggaran 3,000 premis pada 2018.

Bagi memastikan strategi itu berjaya, katanya, KR1M 2.0 akan mengetengahkan dua konsep perniagaan iaitu operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Hamzah berkata, fasa pertama pelaksanaan KR1M 2.0 bertumpu kepada penjualan empat barang keperluan asas iaitu beras, gula, minyak masak dan tepung lebih murah berbanding harga pasaran.

"Sebagai permulaan, KR1M akan ditumpukan kepada empat barang pada harga lebih murah, manakala bagi gas memasak LPG kita masih berbincang bagi mendapatkan harga bersesuaian.

"Fasa seterusnya akan diperkenalkan dengan unit barang jenama dengan harga lebih berdaya saing menerusi kerjasama syarikat MNC dan tempatan.

"Sekurang-kurangnya 50 SKU berjenama akan diambil kira untuk dijual dalam KR1M 2.0," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X