Selasa, 31 Oktober 2017 | 3:51pm
DATUK Nur Jazlan Mohamed. - Foto Aswadi Alias

1.7 juta mangsa pelaburan haram rugi RM5 bilion

KUALA LUMPUR: Lebih 1.7 juta rakyat tempatan dan asing, menjadi mangsa jenayah penipuan pelaburan, khususnya secara dalam talian membabitkan kerugian hampir RM5 bilion sejak 2013.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata jumlah itu direkodkan dalam tempoh hampir empat tahun, iaitu dari 2013 sehingga 11 Oktober lalu.

Katanya, polis menerima sebanyak 2,590 aduan penipuan pelaburan seperti penipuan pembelian atas talian, Love Scam, Macau Scam dan lain-lain dalam tempoh berkenaan, membabitkan 28 syarikat berbeza.

"Pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan untuk mengesan, menangkap dan mendakwa individu serta sindiket yang merancang jenayah terbabit, selain terhadap 'keldai akaun' yang meminjamkan akaun bank mereka kepada pelaku jenayah.

"Siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"Polis menasihat kepada orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang skim dan merujuk pada polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kesahihan pelaburan supaya tidak menjadi mangsa," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (BN-Mukah) yang bertanyakan jumlah kerugian direkodkan berkaitan kes penipuan pelaburan internet serta langkah kementerian membendung masalah itu.

Secara sinis, Nur Jazlan berkata jenayah penipuan pelaburan, khususnya secara dalam talian sukar untuk diselesaikan kerana 'rakyat suka ditipu' kerana hanya melaporkan kepada polis selepas menjadi mangsa dalam tempoh antara setahun hingga dua tahun.

Menjawab soalan tambahan Muhammad Leo Michael berhubung langkah memperketat kawalan terhadap jenayah itu, Nur Jazlan berkata pihaknya akan memperluas kerjasama memandangkan banyak skim penipuan pelaburan itu turut membabitkan kementerian lain.

"Contohnya ada pelaburan minyak sawit mentah, pelaburan Makkah Islamic Hotel yang tidak sah, FX (penipuan pelaburan tukaran wang asing) dan terbaru, skim perumahan DBI dan Juta Kelulut, iaitu pelaburan rumah kos rendah," katanya.

Menjawab soalan tambahan Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) mengenai langkah mengatasi kegiatan menerusi laman dan aplikasi sosial, Jazlan menegaskan kepentingan laporan dibuat oleh mangsa supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan.

"Jika suspek di dalam negara, kita akan tangkap. Jika di luar negara, agak sukar tetapi kita akan cuba dapatkan kerjasama negara di mana suspek berada," katanya.

Berita Harian X