Selasa, 31 Oktober 2017 | 3:14pm
NOOR Hisham (dua dari kanan) menandatangani dokumen bersama Mohd Azhari (dua dari kiri) sambil disaksikan Mohamed Azmin (tengah) pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan SELGATE di Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir
MODEL bangunan hospital Pakar IJN- SELGATE yang akan dibina di Seksyen 13, Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

IJN, SELGATE bina hospital pakar di Shah Alam

SHAH ALAM: Sebuah pusat perubatan pakar dalam perawatan jantung dan penjagaan kesihatan dijangka mula beroperasi di Seksyen 13 di sini, menjelang 2020.

Pusat perubatan pakar itu bakal dibina dalam kerangka pembangunan Bandar Perubatan SELGATE di atas tanah seluas 4.6 hektar dengan kos pembangunan sekitar RM250 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, berkata IJN Holdings bekerjasama dengan SELGATE Corporation Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), melebarkan kepakarannya menerusi pembangunan Hospital Pakar IJN-SELGATE.

"IJN Holdings akan bekerjasama dengan SELGATE menerusi pemindahan teknologi dan kepakaran di dalam aspek operasi, pengurusan hospital, sistem maklumat kesihatan, latihan sumber manusia dan jaminan kualiti.

"Ia adalah sebuah hospital pelbagai disiplin dengan pusat kardiologi yang akan dibangunkan dalam beberapa fasa dengan jumlah 259 katil.

"Ia juga direka bentuk sebagai sebuah bangunan hijau dan pengurusan sumber efisyen yang akan membantu meningkatkan tahap kesihatan, keselesaan pesakit, pengunjung dan warga kerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan SELGATE yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Hisham Mohd Ghouth, dengan disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


MODEL bangunan hospital Pakar IJN- SELGATE yang akan dibina di Seksyen 13, Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Hospital Pakar IJN-SELGATE juga menawarkan perkhidmatan pada kos berpatutan dengan mensasarkan masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah.

"Hospital Pakar IJN-SELGATE mempunyai pelbagai disiplin utama penjagaan kesihatan seperti Pediatrik, Ortopedik, Obstretrik dan Ginekologi serta Pusat Kardiologi.

"Hospital ini akan menggabungkan kepakaran dan pengalaman IJN dengan dinamisme SELGATE untuk memacu pertumbuhan dan menjana pendapatan yang sihat.

"Kami yakin kerjasama SELGATE dengan IJN akan menghasilkan sebuah hospital yang akan menjadi peneraju kesihatan termasuk rawatan penyakit jantung serta vaskular di Selangor dan seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, hospital pakar di Bandar Perubatan SELGATE ini akan menjadi sebuah pembangunan ikonik yang bakal meningkatkan daya saing Selangor dalam industri penjagaan kesihatan.

"Bandar Perubatan SELGATE akan mempunyai komponen yang menyokong hospital lengkap dengan bilik perubatan mewah, kediaman penjagaan warga emas dan hotel," katanya.

Berita Harian X