Rabu, 1 November 2017 | 10:37am
DATUK Seri Abdul Puhat Mat Nayan. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Nazrin perkenan ringan hukuman

IPOH: Menjelang sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, baginda memberi perkenan meringankan hukuman gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup, terhadap dua banduan atas kesalahan dadah.

Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak Darul Ridzuan, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, berkata baginda menitahkan hukuman itu diringankan ketika mempengerusikan Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Darul Ridzuan Bilangan 2/2017 pada 12 Oktober lalu.

Katanya, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak menitahkan supaya dua orang banduan yang masing-masing disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan setiap seorang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Taiping pada 19 Mac 2009 dan 15 Jun 2009 (dan rayuan kedua-dua mereka telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) diringankan hukuman.

Beliau berkata, mereka berdua masing-masing sudah menjalani hukuman penjara lebih 16 tahun (mulai tarikh reman pada tahun 2001), diringankan hukuman daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup (20 tahun) berkuat kuasa mulai tarikh Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Bilangan 2/2017.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, di sini hari ini.

"Baginda juga menitahkan nasihat bahawa sesuatu hukuman yang dijatuhkan bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara dihormati," katanya.

Beliau berkata, baginda bertitah pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah akan hanya dipertimbangkan apabila banduan menunjukkan sifat insaf, sedar dan menyesal akan kesalahan yang telah dilakukan dan memohon maaf, berkelakuan baik ketika berada dalam tahanan serta menunjukkan azam untuk memulakan penghidupan baharu.

Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Nazrin jatuh pada Jumaat ini.

Berita Harian X