Rabu, 1 November 2017 | 6:33pm
HANAFI Abdullah dan isteri, Siti Zubaidah Ali melihat anak, Haniff Mateen Hanafi 1 bulan yang mengidap jantung berlubang mendapat rawatan susulan di Hospital Gleneagles. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Bayi, remaja perlu bantuan tanggung kos pembedahan

KUALA LUMPUR: Usianya baru sebulan, namun Hanif Mateen Hanafi belum lagi dapat dibawa pulang ke rumah kerana terpaksa dirawat di hospital akibat masalah jantung.

Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching, tempatnya dilahirkan juga ibarat kediaman kedua ibunya, Siti Zubaidah Ali, 25, yang perlu berulang alik setiap hari untuk menjenguk anak sulung itu.

Bayi malang seberat 3 kilogram ketika dilahirkan itu kini dirujuk ke Hospital Gleneagles di sini untuk pembedahan jantung berlubang dan memperbetulkan injap jantung yang dianggar menelan kos RM80,000.

Siti Zubaidah melahirkan Hanif Mateen melalui pembedahan kerana degupan jantung bayinya agak laju. Pemeriksaan kemudian mendapati si kecil ada masalah jantung berlubang dan dua injap jantung utamanya bercantum.

"Jadi sejak dilahirkan, dia terpaksa ditahan di hospital untuk penjagaan rapi. Malah sekarang pun, degupan jantungnya masih lagi laju dan terpaksa bernafas menggunakan tabung gas oksigen.

"Namun, kami agak lega tumbesarannya positif, beratnya kini 3.6kg," katanya yang memaklumkan, suaminya, Hanafi Abdullah berpendapatan RM800 sebulan dan tidak mampu menampung kos pembedahan.

Sementara itu, seorang remaja, Ching Jin Sheng, 18, memerlukan RM60,000 untuk menukar saluran jantungnya yang tidak berfungsi dengan baik sehingga dia sukar bernafas.

"Saya pernah dibedah ketika berusia dua tahun. Namun, sejak dua bulan lalu, saya kerap sesak nafas sehingga dirujuk ke Hospital Gleneagles. Pemeriksaan mendapati injap jantung rosak dan perlu ditukar," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima NSTP, nombor akaun 5141 0532 3170 (Maybank) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977 untuk maklumat lanjut.

Berita Harian X