Rabu, 1 November 2017 | 6:40pm
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil gambar kumpulan dengan ahli keluarga mangsa MH370 dan MH17 selepas menyampaikan cek mengejek semasa Majlis Penyampaian Dana Pendidikan Kuala Lumpur & Selangor Persatuan Pendidikan Penolong Bendera di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

2 syarat sambung pencarian MH370

KUALA LUMPUR: Malaysia, Australia dan China akan mengkaji data penilaian semula kawasan pencarian MH370, merangkumi keluasan 25,000 kilometer persegi sebelum membuat keputusan menyambung operasi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata matlamat utama tiga negara ketika ini adalah memastikan ketepatan data teknikal kawasan pencarian baharu yang dikemukakan pakar dari Australia.

Selanjutnya, beliau berkata, pencarian diharap berupaya dilaksanakan di kawasan lebih terperinci, merangkumi 5,000 kilometer persegi yang terletak di pinggir utara, selatan Lautan Hindi berbanding zon operasi sebelum ini.

"Operasi pencarian MH370 akan disambung semula, seawal-awalnya Januari 2018 jika Australia, Malaysia dan China berpuas hati dengan semua terma perjanjian dikemukakan Ocean Infinity.

"Oleh itu, kita memperuntukkan dua syarat, iaitu data penilaian semua oleh pakar dari Australia perlu tepat dan terma perjanjian dikemukakan syarikat Ocean Infinity memihak kepada ketiga-tiga negara," katanya kepada pemberita, sebentar tadi.

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan majlis penyerahan cek replika bernilai RM40,000 kepada 40 wakil waris kru penerbangan MH370 dan MH17, di sini.

Dana pendidikan dengan jumlah keseluruhan RM1.6 juta itu adalah hasil sumbangan Eu Yan Sang, Genting Malaysia Bhd, Hap Seng Plantations dan Kuala Lumpur Kepong Berhad.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Tiong Lai menegaskan, Malaysia, Australia dan China bertekad hanya akan setuju untuk melantik Ocean Infinity bagi mengendalikan operasi pencarian semula MH370 jika terma 'no find, no fee' dipersetujui syarikat berkenaan.

"Setakat ini, empat pertemuan sudah diadakan dengan Ocean Infinity, sejak September lalu untuk berunding syarat menyambung operasi pencarian MH370 di perairan Australia," katanya.

Dalam perkembangan MH17, Tiong Lai berkata, Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) membabitkan lima negara ketika ini dalam fasa menyiapkan siasatan jenayah nahas berkenaan yang dijangka dimuktamadkan awal tahun depan.

Pasca memuktamadkan siasatan jenayah itu, beliau berkata, kes MH17 akan dibawa ke Mahkamah Belanda untuk dibicarakan bagi menentukan hukuman terhadap dalang jenayah antarabangsa terbabit.

Mengulas mengenai majlis penyerahan dana pendidikan berkenaan, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pendidikan Asas Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk Anne Eu, berkata dana untuk menampung perbelanjaan pendidikan waris mangsa itu akan diuruskan CIMB Bank Berhad.

Katanya, waris akan menerima RM5,000 setiap empat bulan menerusi akaun amanah yang diuruskan CIMB untuk tempoh dua tahun.

"Saya dan Puan Sri Cecilia Lim (isteri Pengerusi Genting Malaysia Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay) sepakat untuk membantu waris keluarga MH370 dan MH17.

"Oleh itu, kami pergi berjumpa Datuk Seri Hishammuddin bagi menyuarakan hasrat dalam menubuhkan dana pendidikan untuk waris kru penerbangan MH370 dan MH17," katanya.

1099 dibaca
Berita Harian X