Khamis, 2 November 2017 | 2:38pm
MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kerajaan akan bayar pampasan mansuh empat tol

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membayar pampasan bagi pemansuhan kutipan empat tol di Semenanjung Malaysia kepada pengendali lebuh raya berkenaan tahun depan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kerajaan perlu menyerap kerugian yang ditanggung oleh syarikat berkenaan dengan pemansuhan tol seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, untuk manfaat rakyat.

Katanya, anggaran pampasan bagi dua tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor berjumlah sekitar RM102 juta setahun, manakala bagi tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dianggarkan RM8 juta.

"Kerajaan sentiasa mendengar dan kita juga melihat kepada keupayaan kita untuk memenuhi kehendak rakyat. Sebanyak 155,000 kenderaan menggunakan laluan bertol (Batu Tiga dan Sungai Rasau) setiap hari.

"Permintaan (daripada penduduk) sudah berlaku agak lama, ...dan pemimpin dalam Barisan Nasional sudah memohon kepada kerajaan untuk memansuhkan dua tol ini," katanya ketika ditemubual dalam Rancangan Soal Jawab TV3 berkaitan topik, 'Bajet 2018' malam tadi.

Johari berkata, pampasan bagi pemansuhan kutipan empat tol kepada operator terbabit akan dibayar menggunakan sumber kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat minggu lalu, mengumumkan pemansuhan kutipan empat tol, termasuk di Eastern Dispersal Link (EDL), Johor, mulai 1 Januari 2018.

Johari menjelaskan kerajaan kini dalam perbincangan dengan pihak pengendali lebuh raya berkenaan.

"Kita kini di peringkat akhir perbincangan dan kita perlu membayar (pampasan) kerana kerajaan mengambil alih aset dan kutipan tol mereka. Kita perlu membayar balik tetapi ini semua untuk rakyat," katanya.

UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, adalah pemegang saham utama PLUS Malaysia Bhd (PLUS), pengendali lebuh raya tol terbesar di Malaysia termasuk tol Batu Tiga, Sungai Rasau dan Bukit Kayu Hitam, manakala Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) adalah syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya EDL.

Dalam program itu, Johari turut menyentuh mengenai keunikan struktur ekonomi Malaysia berbanding negara-negara maju, berikutan Malaysia masih meneruskan subsidi untuk perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan yang hampir percuma.

Mengenai rumah mampu milik, katanya laporan yang diterima daripada Bank Negara Malaysia menunjukkan purata rakyat Malaysia mampu meminjam hanya RM250,000 ke bawah, namun rumah berharga RM250,000 ke bawah tidak mencukupi.

Beliau berkata, bagi perbandaran baharu, kerajaan akan memastikan wujud penawaran untuk rumah mampu milik, selain meneruskan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat dengan peruntukan yang diumumkan.

Dalam Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion dalam perumahan dan kediaman, iaitu RM1.5 bilion diperuntukkan kepada Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membina 210,000 unit rumah berharga RM250,000 ke bawah.

Johari juga berkata pemilikan rumah untuk rakyat melalui pelbagai peringkat pelaksanaan akan diteruskan seperti program Projek Perumahan Rakyat, program Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd dan program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M). - BERNAMA

1128 dibaca
Berita Harian X