Khamis, 2 November 2017 | 2:56pm
KETUA Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa (kanan) menandatangani plak Program Sukarelawan Sekolah Malaysia 1Malaysia for Youth (iM4U) di SMK Putrajaya Presint 16(1) dan turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif iM4U Rudy Malik. - Foto BERNAMA

Program SSM di 10 sekolah tahun depan: KSN

PUTRAJAYA: Program Sukarelawan Sekolah Malaysia (SSM) akan mula diperkenalkan di 10 sekolah terpilih setiap negeri mulai tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pelaksanaan program berkenaan adalah salah satu kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan iM4U bagi memupuk sikap kesukarelawan dalam kalangan pelajar sekolah.

"Pelaksanaan program ini akan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah seawal 13 tahun bagi mewujudkan nilai asas sekarelawan dalam diri mereka.

"Oleh itu, pelbagai kegiatan yang berkonsepkan sukarelawan akan diterapkan pada peringkat sekolah melalui subjek kokurikulum sedia ada," katanya berucap pada Majlis Perasmian SSM iM4U di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Aminudin Adam; Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik dan Pengetua SMK Putrajaya Presint 16

(1), Ab Aziz Mamat.

Ali berkata, sikap kesukarelawanan ini perlu dipupuk serta dipraktikkan pada usia muda dan usaha itu seharusnya membabitkan pelajar sekolah.

"Ketika ini, iM4u mempunyai tiga juta sukarelawan berdaftar merangkumi golongan belia berusia 18 hingga 40 tahun sejak ia ditubuhkan pada 2012 dan tahun ini kita menumpukan pembabitan sukarelawan berusia 13 hingga 17 tahun

selaras dengan usaha meningkatkan penyertaan golongan belia," katanya.

"iM4U adalah pentas sukarelawan terbesar di Malaysia yang menyemarakkan sikap kesukarelawanan melalui pelbagai kegiatan berimpak tinggi dan tidak konvensional.

"Antara kegiatan yang dilaksanakan iM4U bukan sahaja memupuk semangat keprihatinan masyarakat tetapi mewujudkan perpaduan dalam kalangan belia bagi mendorong perubahan positif komuniti tempatan," katanya.

Berita Harian X