Jumaat, 3 November 2017 | 11:16pm
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bergambar bersama Tokoh Akademik Negara ke-11, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (tiga dari kiri), Tokoh Akademik Negara ke-10, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (empat dari kiri) dan Ahmad Ameen Mohd Kamal wakil kepada Tokoh Akademik Negara ke-11, Profesor Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan (empat dari kanan) semasa penyampaian Anugerah Akademik Negara 2017 di Putrajaya. - Foto Shayaumil

3 cendekiawan terima anugerah Tokoh Akademik Negara

PUTRAJAYA: Anugerah Akademik Negara (AAN) 2017 malam ini menyaksikan tiga cendekiawan negara dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara.

Mereka adalah Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim, yang dianugerahkan Tokoh Akademik Negara ke-10, manakala Prof Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan dan Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sebagai Tokoh Akademik Negara ke-11.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata AAN adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada cendekiawan Malaysia yang mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang.

"Pengiktirafan ini juga adalah manifestasi keprihatinan dan komitmen kementerian dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara.

"Selain itu, kecemerlangan ahli akademik negara ini juga dapat dilihat melalui penyelidikan dan penerbitan jurnal berimpak tinggi," katanya dalam ucapan perasmian AAN, di sini.

Idris berkata, AAN diperkenalkan pada 2006 dan penerima pertamanya adalah Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

"Pemilihan penerima AAN berdasarkan sumbangan mereka pada peningkatan prestasi kualiti pendidikan negara dan meletakkan nama Malaysia di pentas global sehingga dihormati oleh ahli akademik lain dari seluruh dunia.

"Kita bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh cendekiawan negara kita dan semoga pelbagai kejayaan lain dapat dicapai pada masa akan datang," katanya.

Idris turut menyampaikan anugerah kepada 10 ahli akademik yang memenangi anugerah lain seperti Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal; Anugerah Penerbitan Buku; Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk; Anugerah Seni dan Kreativiti; Anugerah Pengajaran dan Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Tokoh Akademik Negara membawa pulang wang tunai RM200,000, piala dan sijil, manakala pemenang anugerah bagi setiap kategori lain menerima RM50,000, piala dan sijil.

Pada majlis sama, Idris turut melancarkan buku Cendekiawan Terbilang, yang merangkumi kejayaan dan pencapaian 10 Tokoh Akademik Negara.

Berita Harian X