Sabtu, 4 November 2017 | 3:04pm
TAN Sri Dr K Kenneth Eswaran (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta Program Jelajah Transformasi India Malaysia di Auditorium MPSPK. - Foto Nor Farhani Che Ad

Bajet 2018 manfaatkan masyarakat India

SUNGAI PETANI: Bajet 2018 disifatkan sebagai langkah terbaik dalam sejarah buat kaum India di negara ini, sekali gus membuktikan kerajaan tidak meminggirkan golongan terbabit.

Presiden Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Dr K Kenneth Eswaran, berkata bajet yang dibentangkan menunjukkan Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan memberi tumpuan terhadap kebajikan masyarakat India di negara ini.

"Masyarakat India berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman yang memberi manfaat kepada kira-kira 2.09 juta masyarakat India di negara ini.

"Ini menunjukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri begitu prihatin terhadap kaum India dengan memberi pelbagai peruntukan dan inisiatif yang dilihat mampu memperkasakan kehidupan masyarakat terbabit," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Transformasi India Malaysia di Auditorium Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan RM50 juta diperuntukkan untuk membantu lebih 35,000 usahawan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), di samping tambahan RM50 juta lagi untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Satu inisiatif baharu yang turut diperkenalkan ialah pengagihan 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.

Dalam perkembangan lain, Eswaran berkata, masyarakat India tidak akan mudah terpedaya dengan pihak pembangkang yang hanya pandai menabur janji.

"Ada yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun tapi tak lakukan apa-apa pun untuk kaum India dan dia minta diberi peluang lagi. Sudah pastinya masyarakat India tidak akan terpengaruh janji manis pembangkang," katanya.

Berita Harian X