Sabtu, 4 November 2017 | 4:35pm

Hujan renyai iringi pengebumian Ramli

PUCHONG: Selepas hampir setahun, akhirnya Ramli Abd Majid,46, yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, dekat Iran, 'pulang' jua ke tanah air.

Jenazah Ramli diterbangkan menggunakan pesawat Mahan Air dari Lapangan Terbang Imam Khomeini malam semalam dan tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.20 pagi tadi sebelum dibawa ke Masjid Asy Syakirin, Taman Puchong Utama.

Di masjid, ahli keluarga diberi peluang untuk menatap jenazah buat kali terakhir sebelum disolatkan sekali lagi.

Pada jam 1.45 petang, jenazah dibawa menaiki van jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Batu 14 Puchong dan selamat dikebumikan pada jam 2.05 petang tadi.

Cuaca mendung mengiringi majlis pengebumian Ramli, disusuli hujan renyai sejurus selesai pengebumian yang turut dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan sahabat handai, termasuk rakan sekerja Allahyarham.

Anak tunggal Allahyarham, Muhammad Fauzi,17, ketika ditemui meluahkan rasa syukur kerana segala urusan sudah selesai selain berterima kasih kepada semua pihak yang membantu membawa pulang jenazah bapanya.

Dia yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin ini berkata, tanggungjawabnya kini besar kerana perlu menjaga ibunya, Roslida Ablah, 42 berikutan hanya dia satu-satunya waris yang tinggal selepas ketiadaan bapa.


JENAZAH Ramli Abd Majid dibawa keluar selepas disolatkan di Masjid Asy Syakirin, Taman Puchong Utama. - Foto BERNAMA

"Ketiadaan bapa sepanjang hampir setahun ini memang sedikit sebanyak mengganggu pelajaran saya tetapi, InsyaAllah saya akan buat yang terbaik dalam SPM.

"Selepas habis SPM, saya akan pulang ke sini (rumah di Puchong Utama) untuk jaga emak," katanya yang tinggal bersama datuknya di Pahang.

Muhammad Fauzi berkata, kali terakhir dia bertemu dengan bapanya pada September tahun lalu tetapi, ketika itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Ketika kami bertemu, dia biasa saja namun, selalu berpesan kepada saya supaya jadi orang yang baik dan selalu berbuat baik," katanya.

Mayat Ramli ditemui sekumpulan pendaki Iran ketika menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter, 27 Oktober lalu, sebelum Palang Merah Iran menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Jaket berwarna biru dan peralatan mendaki milik Ramli menjadi petunjuk kepada pihak kedutaan dan rakan untuk mengesahkan jenazah Ketua Jurutera Sistem Proton itu sebelum disahkan secara rasmi oleh Wisma Putra pada 29 Oktober lalu.

Pada 20 November tahun lalu, Ramli dan rakan, Syed Ridzuan Syed Salim Shatri dilaporkan hilang selepas terpisah daripada kumpulan yang memulakan pendakian ke puncak Gunung Damavand di Iran.

Mayat Syed Redzuan ditemui di yakhar glacier pada jam 12.45 tengah hari waktu tempatan (jam 5.45 petang waktu Malaysia) enam hari kemudian, dipercayai terjatuh dari ketinggian 4,100 meter.


JENAZAH Ramli Abd Majid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14 Puchong. - Foto BERNAMA

JENAZAH Ramli Abd Majid diusung untuk disolatkan.
Berita Harian X