Sabtu, 4 November 2017 | 8:15pm
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tengah) bergambar bersama penerima pingat di Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Veteran Angkatan Tentera Malaysia DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi di Ipoh. - Foto L. Manimaran

Kaki palsu veteran ATM

IPOH: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) diarah mengkaji kaedah terbaik menangani rungutan veteran tentera berhubung penyelarasan sistem baharu bagi mendapatkan kaki palsu yang kini dikendalikan Kementerian Kesihatan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Nor, berkata sekiranya timbul masalah baharu mendapatkan bantuan, JHEV perlu mengkaji kaedah terbaik menyelesaikannya.

"Sekarang ini, sekiranya anggota veteran ATM (Angkatan Tentera Malaysia) mendapatkan kaki palsu di hospital awam, hospital itu akan menangani (mengendalikan) kes terbabit, manakala jika mereka merujuk ke hospital tentera, hospital itu akan menguruskannya.

"Jika itu dilihat masalah saya akan minta JHEV melihat kaedah terbaik bagi memudahkan veteran menghadapi masalah ini.

"Kalau ada timbul sesuatu permasalahan, kita akan cuba cari jalan dan kaedah menangani," katanya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia kepada Abdul Ghani Jali di Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Veteran Angkatan Tentera Malaysia DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi di Ipoh. - Foto L. Manimaran

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Veteran ATM bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta dan Manjoi, di sini hari ini.

Pada majlis itu, lebih 200 veteran ATM dari kedua-dua kawasan DUN berkenaan menerima pingat penganugerahan yang disampaikan sendiri oleh beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan mempunyai jadual tertentu berhubung pemberian kaki palsu kepada veteran ATM.

Sebagai contoh, sekiranya 10,000 unit kaki palsu diperlukan pihaknya boleh memberi kelulusan segera.

"Namun, sekiranya permohonan melebihi 10,000 unit, kita minta kelulusan Kementerian Kesihatan," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Kelab Orang Kurang Upaya (OKU) Veteran Perang Negeri Perak membantah penyelarasan pemberian ubat-ubatan, rawatan dan alat perubatan veteran ATM yang dikendali oleh Kementerian Kesihatan.

Mereka mendakwa sistem baharu itu, bukan saja menyusahkan malah menyebabkan anggota kelab berkenaan terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan kaki palsu berbanding jika ada dikendalikan sendiri oleh JHEV.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X