Ahad, 5 November 2017 | 11:47am
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,Tan Sri Zainal Rahim Seman sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Perak ke 61 di Istana Iskandariah. - Foto Muhaizan Yahya

31 terima anugerah Perak hari ini

KUALA KANGSAR: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil, mendahului senarai 31 penerima istiadat penganugerahan darjah kebesaran Perak di Balairong Seri, Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan ulang tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-61, tahun ini.

Selain SPMP, penerima lain ialah masing-masing dua Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) dan Darjah Dato Seri Panglima Taming Sari (SPTS), tiga penerima Darjah Dato Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM), 20 penerima Darjah Dato Paduka Mahkota Perak (DPMP) dan empat penerima Darjah Dato Pahlawan Taming Sari (DPTS).

Antara penerima anugerah kebesaran SPTS yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim manakala Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Yushaimi Maulud Yahaya; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, S Thangasvari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim; ADUN Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali; ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, T Balachandran, antara penerima DPMP yang membawa gelaran Datuk.

Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan semua darjah kebesaran itu. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, turut berangkat ke istiadat berkenaan.

Turut berkenaan berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda, Tuanku Suraya Sultan Abdul Halim.

Secara keseluruhan, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan 331 darjah kebesaran, bintang dan pingat kebesaran dengan baki lain bintang dan pingat kebesaran akan disempurnakan pada 11 November ini.

Darjah kebesaran tertinggi Darjah Kerabat (DK) dianugerahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Terdahulu, baginda memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada tujuh pegawai dan 103 anggota Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen di pekarangan Istana Iskandariah.

Kemudian, istiadat dimulakan dengan bacaan serta terjemahan ayat al-Quran disusuli titah ucapan tahniah oleh Raja Muda Perak; ucapan tahniah dan taat setia oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan titah Sultan Nazrin sebelum istiadat penganugerahan darjah kebesaran disempurnakan.

Berita Harian X