Ahad, 5 November 2017 | 12:32pm
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, serta orang ramai mengibar bendera di Majlis Perasmian Ekspresi Negaraku, di Dataran Perayaan Jalan Stadium Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, serta orang ramai mengibar bendera di Majlis Perasmian Ekspresi Negaraku, di Dataran Perayaan Jalan Stadium Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Sabah, Sarawak terus nikmati peruntukan pembangunan: TPM

PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan terus bergandingan untuk menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama itu membabitkan pelbagai projek pembangunan khususnya dalam aspek pendidikan yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini pada masa depan.

Beliau berkata ini jelas dibuktikan dengan keprihatinan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1 billion untuk membangunkan sekolah usang walaupun mulanya kerajaan negeri berhasrat menggunakan wang Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) untuk melaksanakan projek itu.

Ahmad Zahid berkata, sebelum itu beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg , berhubung keperluan membaiki sekolah usang di Sarawak dan dimaklumkan kerajaan negeri akan menggunakan wang daripada DBOS sebanyak RM1 bilion untuk tujuan itu.

"Bagaimanapun, pada 27 Oktober lalu (pembentangan Bajet 2018), Perdana Menteri mengumumkan peruntukkan RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sekolah usang, yang bermakna Sarawak tidak perlu lagi menggunakan wang DBOS," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Ekspresi Negaraku di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini, hari ini.

Selain Abang Johari, program yang disertai lebih 5,000 penduduk Kuching itu dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Ahmad Zahid berkata, keprihatinan Kerajaan Persekutuan itu bukan sahaja dinikmati Sarawak, malah Sabah turut menerima faedahnya apabila Najib turut mengumumkan peruntukan dalam jumlah sama untuk membangunkan sekolah usang di negeri itu.

"Ini membuktikan peruntukan kerajaan bukan hanya untuk Semenanjung dan bukannya soal 'Sabah for Sabahan' atau 'Sarawak for Sarawakian', tetapi hasrat kerajaan adalah kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Kesenangan, keharmonian dan kesejahteraan bukannya datang dari langit, tapi adalah hasil kepimpinan baik yang mendapat sokongan seluruh rakyat, diwarisi dan diperjuangkan bukan untuk masa tertentu sahaja, tetapi yang lebih penting adalah untuk dipupuk dan dipelihara selama-lamanya," katanya.

Katanya lagi, program Ekspresi Negaraku yang dianjurkan kerajaan itu adalah manifestasi kepedulian kerajaan kepada seluruh kaum, tanpa mengira bangsa, agama, atau warna kulit.

"Dan yang paling utama ia bukan sekadar ucapan retorik, sebaliknya semua pelaksanaan kerajaan diusahakan dengan gigih untuk semua," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X