Ahad, 5 November 2017 | 3:51pm
PENGERUSI HELP Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Husin. - Foto Rosela Ismail

Tuisyen HELP bantu tingkat prestasi pelajar

KUALA LUMPUR: Lebih 35,000 pelajar mendapat manfaat daripada program Tuisyen Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) UMNO, sejak ia diperkenalkan empat tahun lalu.

Pengerusi HELP Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Husin, berkata kajian rawak dilakukan terhadap pelajar yang terbabit dengan program berkenaan, mendapati ada peningkatan antara 70 peratus hingga 80 peratus bagi lima mata pelajaran teras dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sekolah juga meminta untuk menambah lagi jumlah pelajar menyertainya pada tahun depan.

"Saya kira kejayaan menerusi program ini disebabkan ia memberikan fokus kepada pecutan akhir untuk menduduki SPM dan teknik menjawab soalan.

"Malah, slot motivasi diadakan turut membantu membakar semangat mereka menduduki peperiksaan," katanya, di sini.

Program anjuran Pemuda UMNO menerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) itu dibangunkan sejak 2014, turut mendapat kerjasama Yayasan Al-Hussin dan MARA.

Antara 100 hingga 200 pelajar dari 145 Parlimen terpilih menyertai program itu.

Program tuisyen itu menyasarkan usaha membantu pelajar memperoleh keputusan baik dalam SPM, khususnya dalama kalangan pelajar sederhana dan keluarga berpendapatan rendah.

100 jam kelas

Nazir Hussin berkata, setiap pelajar perlu melalui kira-kira 100 jam kelas tambahan yang dijalankan dalam tempoh 10 bulan sebelum SPM berlangsung.

Katanya, tahun ini program itu ditambah baik dengan slot Skor A, iaitu program intensif selama tiga minggu sebelum SPM bermula.

"Elemen kerohanian, termasuk bacaan Yasin dan motivasi oleh pakar dalam bidang berkenaan turut diadakan," katanya.

Mengulas mengenai idea penganjuran program itu, Nazir berkata, kajian HELP mendapati satu jalan untuk berjaya dalam kehidupan dan keluar daripada kepompong kemiskinan ialah menerusi pelajaran.

"Kami berharap, selepas peserta program ini selesai menduduki SPM apapun keputusan mereka dapat, jadikan kami sebagai rujukan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat lebih tinggi.

"Datang kepada kami kerana di bawah MARA, kami memiliki kira-kira 32 institusi untuk mereka menyambung pengajian dalam pelbagai peringkat, termasuk sijil, diploma dan ijazah," katanya.

Terbuka untuk semua

Mengulas mengenai rungutan program berkenaan khusus hanya untuk ahli UMNO, Nazir Hussin yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO menafikannya.

"Isu itu tidak seharusnya timbul atau dibangkitkan kerana pelajaran hak semua, apatah lagi anak muda yang menjadi pelapis generasi akan datang.

"Pendidikan terbuka kepada pelajar dan ibu bapa tanpa batasan fahaman politik," katanya.

SPM berlangsung esok hingga 4 Disember ini dengan 443,883 calon menduduki peperiksaan di 3,363 pusat.

Daripada jumlah itu, seramai 386,331 calon atau 87 peratus membabitkan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Berita Harian X