Isnin, 6 November 2017 | 9:29am
CALON SPM bersedia bagi menduduki subjek Bahasa Melayu kertas 1 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang bermula pada hari ini di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Bandar Enstek, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Ibu bapa calon SPM sokongan

NILAI: Kehadiran ibu bapa pada hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), di sini, hari ini diharap mampu meningkatkan semangat semua calon berkenaan.

Selain ibu bapa, guru pelajar Tingkatan Lima turut hadir memberi sokongan dan bersalaman antara satu sama lain sebelum pelajar masuk ke dalam dewan peperiksaan.

Pengetua TKC, Anismah M Noh, berkata pendekatan berkenaan adalah selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan supaya Sarana Ibu Bapa dapat memainkan peranan dalam membantu kecemerlangan sekolah.

"Ini adalah satu peluang yang baik apabila calon peperiksaan dapat bertemu ibu bapa mereka sekali gus memohon restu sebelum menjawab kertas Bahasa Melayu SPM pagi ini," katanya ketika ditemui pada sesi taklimat calon SPM, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang juga bapa kepada calon SPM TKC, Datuk Nasharudin Hamzah.

Seramai 138 calon TKC menduduki SPM, bermula pagi ini hingga 4 Disember depan.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, seramai 443,883 calon SPM 2017 menduduki peperiksaan itu di 3,363 pusat peperiksaan di seluruh negara, tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 386,331 calon atau 87 peratus membabitkan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Berita Harian X