Isnin, 6 November 2017 | 11:59am
MUHAMMAD Faizal Rusydan Rokhaimie antara 167 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) menduduki kertas pertama SPM, Bahasa Melayu. - Foto Nursyahirah Marzuki

Calon bertongkat duduk SPM

PUTRAJAYA: Walaupun terpaksa bertongkat dan pergerakan terbatas, ia tidak menghalang Muhammad Faisal Rusydan Rokhaime, 17, untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bermula hari ini.

Beliau, yang juga salah seorang daripada 167 calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), berkata kemalangan yang menimpanya tiga tahun lalu menyebabkan kecederaan teruk di kakinya.

"Saya sudah bersedia menghadapi peperiksaan kali ini dan akan berusaha memperoleh keputusan cemerlang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tinjauan di sekolah itu mendapati, 167 calon hadir membabitkan 92 lelaki serta 75 perempuan dan sesi peperiksaan berjalan dengan lancar.

Kira-kira jam 7.30 pagi, semua calon sudah mula berkumpul mendengar taklimat dan nasihat terakhir dari guru, malah ibu bapa calon turut berkumpul bersama guru.

Calon SPM turut membaca doa sebagai pembakar semangat sebelum masing-masing mula menjawab soalan peperiksaan Kertas Bahasa Melayu 1.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Putrajaya, Roaini Jaafar dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1) Ab Aziz Mamat.

Dalam pada itu, Roaini berkata, 1,335 pelajar Tingkatan Lima menduduki peperiksaan SPM, di 11 pusat peperiksaan di seluruh Putrajaya yang bermula hari ini.

"Semua calon berkenaan akan menduduki peperiksaan SPM sehingga 30 November ini, malah tahun ini kita mempuyai pusat baru di SMK Putrajaya Presint pp5 (1) yang menempatkan seramai 30 calon.

"Perjalanan SPM 2017 di seluruh Putrajaya setakat ini berjalan lancar dan diharapkan keadaan ini berkekalan sehingga tamat peperiksaan," katanya.

Berita Harian X