Isnin, 6 November 2017 | 1:29pm

Pulau Pinang bencana luar jangka

AMPANG: Hujan dengan kuantiti yang banyak di luar jangka ditambah dengan kemuncak air pasang menjadi faktor utama banjir melanda Pulau Pinang sejak Sabtu lalu.

Mengikut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), purata hujan yang turun sebanyak 250 milimiter (mm) dalam tempoh 24 jam melebihi kategori hujan amat lebar iaitu 150 mm sehari.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah bencana di luar jangka.

 

"Saya tidak mahu mempolitikan isu ini, namun mengikut kajian kes yang dilakukan bila sesuatu tempat itu lebih 10 atau 20 tahun tidak dilanda banjir ditambah dengan pembinaan yang rancak peparitan sedia ada tidak mampu menampung air untuk di salurkan ke laut menyebabkan limpahan air yang banyak.

"Pada masa sama berlaku air pasang tinggi di kawasan itu.

"Namun, apabila hujan lebat, bukit-bukau banyak yang sudah ditebas dan diratakan ia akan mengurangkan kapasiti penyedutan air di dalamnya, akhirnya air akan mengalir ke tengah bandar.

"Hujan seperti itu jika turun di mana-mana bandar sekalipun akan berlaku banjir," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir di JPS, Cawangan Ampang di sini, hari ini.

Menurut Wan Junaidi, banjir yang berlaku di Pulau Pinang adalah bencana di luar jangka. Namun JPS tidak meramal bila banjir negeri itu akan berakhir.

 

"Apa yang berlaku di Pulang Pinang bukanlah banjir kilat tetapi memang banjir luar jangka disebabkan kuantiti hujan yang turun sangat lebat.

"Buat masa ini kita tidak meramal bila banjir di Pulau Pinang akan berakhir selagi perubahan monsun barat daya belum bergerak ke timur," katanya.

Sementara itu, kerajaan meluluskan bajet tambahan RM150 juta untuk projek Sungai Pinang yang akan dilancarkan pada Januari tahun depan membabitkan kerja pembesaran dan mendalamkan sungai.

Projek itu bermula sejak 2015 dengan kerja pembersihan termasuk perpindahan setinggan di persisiran pantai dan selesai pada 2016.

1679 dibaca
TIMBALAN Ketua Pengarah (Sektor Bisnes), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh menerangkan situasi banjir yang berlaku di utara Semenanjung kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Kompleks JPS Ampang. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X