Isnin, 6 November 2017 | 1:44pm
MOHD Khalid, Khairulimran Adam menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1. - Foto Mohd Azren Jamaludin
MOHD Khalid, Khairulimran Adam menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1. - Foto Mohd Azren Jamaludin

SPM: Dugaan besar buat Khairulimran

JOHOR BAHRU: Kira-kira dua minggu sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, di sini, ditakdirkan tidak dapat melihat secara tiba-tiba.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, semangat juang yang tinggi Khairulimran Adam, 17, menggagahkan dirinya melangkah masuk ke dewan peperiksaan bagi menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1, pagi tadi.

Ditemani jurubaca dan jurutulis disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Khairulimran yang memakai kaca mata hitam kelihatan tenang menjawab soalan berkenaan.

Bagi anak bongsu daripada dua beradik itu, meskipun masih dalam tempoh rawatan dan pemulihan, ia tidak menghalang dirinya untuk menduduki peperiksaan berkenaan, walaupun beberapa kali dinasihatkan pihak sekolah untuk menangguhkannya.

"Dua tahun lalu saya boleh melihat dengan jelas, namun ketika mengambil PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3), mata saya mengalami masalah. Saya mendapatkan rawatan selain menjalani pembedahan di Hospital Selayang dan kembali boleh melihat.

"Pada 23 Oktober lalu, selepas selesai solat Subuh berjemaah di sekolah, saya sedar penglihatan saya berbentuk hitam dan semakin lama semakin kabur. Jadi, saya terus menghubungi ibu di rumah.

"Keesokan hari, keluarga membawa saya membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum dirujuk ke Hospital Selayang sekali lagi dan doktor di sana mengesahkan peluang untuk saya melihat semula agak tipis," katanya ketika ditemui BH, di sini hari ini.

Khairulimran yang mendapat keputusan 7A 2B dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini berkata, beliau terpaksa menjalani pembedahan sekali lagi selama empat jam pada 27 Oktober lalu bertujuan mengisi cecair khas untuk merapatkan semula kornea matanya.

DATUK Ayub Rahmat (tengah) bersama Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shahruddin Sharif (kiri) bertemu dengan Mohd Khalid, Khairulimran Adam selepas menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas. - Foto Mohd Azren Jamaludin 1.
DATUK Ayub Rahmat (tengah) bersama Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shahruddin Sharif (kiri) bertemu dengan Mohd Khalid, Khairulimran Adam selepas menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas. - Foto Mohd Azren Jamaludin 1.

Beliau yang mendaftar untuk mengambil sembilan kerta dalam SPM kali ini, bagaimanapun terpaksa menggugurkan satu daripadanya, iaitu Pendidikan Seni Visual yang memerlukan calon melukis sendiri bagi menjawab subjek berkenaan.

"Saya suka membaca termasuk bahan bacaan agama, jadi saya yakin apa yang Allah berikan ini dugaan untuk diberikan satu ganjaran lebih besar daripada itu. Itulah yang membuatkan saya kuat semangat dan tekad untuk mengambil peperiksaan," katanya.

Abang kepada Khairulimran, Khairulamirin Adam, 23, berkata seluruh keluarga terkejut dan sedih selepas diberitahu doktor adiknya mengalami nasib sedemikian.

"Kami semua sedih dan sebak pada saat Khairulimran merayu untuk melihat wajah ibu dan ayah kami buat kali terakhir sebelum menjalani pembedahan.

"Apa pun, semangat dia tetap kuat untuk menduduki SPM dan saya turut membantu dia dengan membacakan semua buku untuknya ketika mengulang kaji pelajaran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata beliau sudah menghubungi pengurusan HSA bagi mencadangkan Khairulimran menjalani peperiksaan di situ sebagai calon khas.

"Mereka bersetuju untuk menempatkan Khairulimran pada bila-bila masa, namun terpulang kepada calon ini dan keluarga.

"Cadangan itu membolehkan dia selesa menjawab peperiksaan kerana saya difahamkan Khairulimran terpaksa menjalani prosedur rawatan di mana beliau terpaksa meniarap selama 15 jam sehari bagi memulihkan semula kornea pada matanya," katanya ketika ditemui ketika melawat pelajar berkenaan, hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X