Isnin, 6 November 2017 | 6:38pm

Berlindung di surau


GAMBAR viral selepas mangsa banjir sekumpulan lelaki dan perempuan Cina yang diselamatkan dan ditempatkan di Surau Taman Free School. - Foto Ihsan Pembaca

GEORGETOWN: "Pada mulanya mereka segan kerana menghormati surau, tetapi situasi pada waktu itu sangat genting kerana air sudah mencecah paras dada".

Itu penjelasan Sapno Tukijo, 50, bilal Surau Taman Free School di sini, berhubung gambar viral yang memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita dewasa berbangsa Cina yang menumpang di surau terbabit, semalam.

Sapno berkata, dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, ramai penduduk cuba menyelamatkan diri dengan mahu menumpang di kuil berhampiran, namun arus deras menghalang mereka untuk ke kuil berkenaan.

"Kuil itu hanya terletak beberapa meter di seberang jalan dan saya cuba membawa mereka dengan mengikat tali di tiang elektrik, namun gagal kerana arus deras.

"Saya akhirnya mempelawa mereka menumpang di surau dan mereka akur demi keselamatan mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


BILAL Surau Taman Free School, Sapno Tukijo, 50, menceritakan kejadian beliau menyelamatkan mangsa banjir sekumpulan lelaki dan perempuan Cina dan ditempatkan di Surau Taman Free School. - Foto Danial Saad

Sapno berkata, jumlah sebenar mangsa yang ditempatkan di surau berkenaan seramai 70 orang, membabitkan masyarakat Cina dan India yang tinggal di kampung sekitar Lengkuk P Ramlee, di sini.

Katanya, beliau tidak mahu mempedulikan pandangan orang ramai di media sosial yang mengecam gambar berkenaan, kerana apa yang lebih penting ialah keselamatan semua pihak.

"Saya tahu ada yang akan mengecam tindakan itu, namun saya akan berasa lebih bersalah sekiranya melihat mereka tanpa arah tujuan atau lebih buruk dihanyut arus deras," katanya.

Tinjauan BH ke Surau Taman Free School semua 70 mangsa banjir terbabit sudah pulang.


BILAL Surau Taman Free School, Sapno Tukijo, 50, (kanan) menceritakan kejadian beliau menyelamatkan mangsa banjir sekumpulan lelaki dan perempuan Cina dan ditempatkan di Surau Taman Free School. - Foto Danial Saad

Berita Harian X