Isnin, 6 November 2017 | 9:45pm
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) dan Pengarah Pusat Permata Kurnia, Profesor Dr Hasnah Toran (kanan) bermesra dengan pereka laman web MIND, Danny Ghaniah (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Laman Web MIND dengan kandungan Permata Kurnia di Bangunan Bakti Siti Hasmah. - Foto Luqman Hakim Zubir

iKurnia akses mudah maklumat autisme

KUALA LUMPUR: Modul pendidikan dalam talian, iKurnia diperkenalkan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai autisme.

Kursus terbabit merangkumi tiga unit utama iaitu asas autisme, asas intervensi dan iKurnia Live.

Projek ini adalah inisiatif BAKTI-Rangkaian Maklumat Bagi OKU Malaysia (MIND) dengan kerjasama PERMATA Kurnia yang memberi akses pendidikan percuma kepada masyarakat memahami autisme dan langkah intervensi.

Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata Pertubuhan Kesihatan Dunia menganggarkan satu peratus kejadian autisme dalam sesebuah negara.

Maka jika diaplikasikan kepada negara yang mempunyai 31 juta penduduk, boleh dianggarkan terdapat 310,000 kanak-kanak mengalami autisme.

"Menyedari fenomena peningkatan kejadian autisme ini serta keperluan ibu bapa yang mempunyai anak seperti ini, saya menyarankan BAKTI-MIND membuat penambahbaikan kepada laman sesawangnya dengan memuatkan maklumat mengenai autisme.

"Menerusi pautan Pusat PERMATA Kurnia, pengguna yang melayari laman sesawang MIND dapat mengakses pelbagai maklumat mengenai autisme.

"Laman sesawang ini cukup komprehensif, merentasi pelbagai spektrum berkenaan autisme termasuklah perkara asas sehinggalah kepada maklumat teknikal dan pendidikan khusus.

"iKurnia, iaitu sebuah kursus pendidikan atas talian pertama seumpamanya di Malaysia. Ia menggunakan sepenuhnya platform pembelajaran terbuka dan Youtube yang boleh diakses 24 jam," katanya dalam ucapan pelancaran laman sesawang MIND, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat PERMATA Kurnia, Prof Dr Hasnah Toran.

Beliau berkata di pusatnya terdapat lebih 300 kanak-kanak autisme yang dilatih menerusi intervensi awal, prasekolah dan pendidikan komuniti.

"Kami mempunyai senarai menunggu yang panjang untuk ibu bapa mendaftarkan anak mereka di pusat ini.

"Dijangkakan pada hujung tahun depan, dua lagi pusat PERMATA Kurnia akan dibangunkan bagi memenuhi permintaan masyarakat.

"Justeru dengan adanya iKurnia ini ia sedikit sebanyak membantu ibu bapa, guru dan masyarakat luar untuk memahami serta mempunyai strategi intervensi untuk mendidik anak autisme mereka," katanya.

Orang ramai boleh mencapai pautan iKurnia menerusi laman sesawang www.mind.org. bagi mendalami dan memahami maksud autisme.

Berita Harian X