Selasa, 7 November 2017 | 2:02pm
YANG di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berkenan menyentuh Cokmar yang disampaikan Naib Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kiri) sempena majlis Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-8 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
YANG di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Sarjana Dalam Bidang Pengajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa kepada Brigedier Jenaral (Bersara), Datuk Abdul Latif Ahmad (kanan) sempena majlis Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-8 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Sultan Muhammad V dimasyhurkan Tuanku Canselor UPNM

KUALA LUMPUR: Istiadat Konvokesyen Kelapan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sidang pertama hari ini dimulakan dengan pemasyhuran, Yang di-Pertuan Agong Ke-XV Sultan Muhammad V sebagai Tuanku Canselor UPNM yang baharu.

Watikah pemasyhuran baginda dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, di Dewan Tun Templer, UPNM pagi ini.

Pemasyhuran Sultan Muhammad V adalah berdasarkan Seksyen 10 (1)(2) Perlembagaan UPNM yang memperuntukkan bahawa Canselor mesti Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat Konvokesyen UPNM Kelapan akan berlangsung selama dua hari membabitkan 653 graduan iaitu tujuh penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (26 pelajar), Ijazah Sarjana Muda (558 pelajar) dan 62 pelajar Diploma.

Sultan Muhammad V dalam titah ucapannya mengingatkan kepada seluruh warga UPNM akan tanggungjawab bersama dalam menentukan masa hadapan dan memahat sejarah gemilang universiti.

"Legasi kegemilangan UPNM perlu diperkukuhkan dan dipertahankan, institusi ini perlu terus kekal relevan seiring masa," titah baginda.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Pro Canselor UPNM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sementara itu, baginda ketika titah sama mengingatkan graduan supaya memanfaatkan ilmu yang diperoleh supaya dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

"Menjadi orang berilmu adalah satu rahmat dan kelebihan. Ia adalah satu amanah yang mesti dipikul dan mesti digunakan.

"Graduan perlu menjadi insan yang bersyukur dan menghargai jasa ibu bapa, pensyarah dan jurulatih ketenteraan agar ilmu diperolehi bertambah berkat," titah baginda.

Dalam istiadat konvokesyen itu, baginda turut mengurniakan Ijazah Sarjana Kehormat kepada Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Latif Samad dalam bidang Pengajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa serta dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja kepada Leftenan Muda N. Thachnantharen dan Leftenan Muda Norsyamira Mohd Firdaus.

Sumbangan terbesar Abdul Latif kepada negara dan keamanan dunia adalah mengetuai misi menyelamat askar Amerika Syarikat bersama 113 anggota Malaysian Battalion 1 (MALBATT 1) pada 3 dan 4 Oktober 1993.

Sebagai menghargai usaha beliau, Amerika Syarikat menerbitkan sebuah filem bertajuk Black Hawk Down pada Januari 2002.

Berita Harian X