X
Rabu, 8 November 2017 | 6:57pm
DATUK Seri Jamil Khir Baharom. - Foto Mohd Yusni Ariffin
DATUK Seri Jamil Khir Baharom. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tauliah supaya akidah tidak tergugat

KUALA LUMPUR: Langkah mewajibkan penceramah mendapat tauliah mengajar bukan sesuatu yang pelik kerana Singapura dan Brunei Darussalam turut melaksanakan peraturan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata di Singapura, penceramah dianggap melakukan kesalahan sekiranya mengeluarkan iklan ceramah tanpa mendapat tauliah mengajar.

"Langkah ini bertujuan menjaga ketenteraman awam, kerukunan dan mengelak ajaran sesat termasuk bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tersebar hingga menggugat akidah umat Islam.

"Dalam konteks Malaysia, tauliah mengajar ialah hak dan peraturan negeri. Saya percaya jabatan agama Islam negeri, majlis agama Islam negeri atau jabatan mufti negeri terbuka dalam permohonan tauliah mengajar. Cuma kena mohon," katanya ketika penggulungan Bajet 2018 bagi Jabatan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) yang mempersoalkan keperluan memohon tauliah mengajar susulan penahanan dan tindakan undang-undang terhadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Zamihan Mat Zin serta penulis dan wartawan warga Turki, Mustafa Akyol, baru-baru ini.

Turut mempersoalkan isu sama ialah Datuk Hassan Ariffin (BN-Rompin) dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (AMANAH-Parit Buntar).

Jamil berkata, penceramah diwajibkan memohon tauliah mengajar di negeri yang berkenaan, selaras peruntukan 1, Jadual 9 , Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi sesetengah negeri, pihak berkuasa boleh memberi had tempoh tertentu untuk tauliah mengajar seperti yang dimohon penganjur atau penceramah, jika mereka memenuhi syarat ditetapkan negeri masing-masing.

"Dalam hal ini, kerajaan sentiasa mengambil berat penceramah yang memohon tauliah, sekiranya membabitkan kepentingan awam. Di Kuala Lumpur, permohonan tauliah mengajar di bawah Seksyen 96, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam," katanya.

Berita Harian X