Rabu, 8 November 2017 | 9:21pm
LAPORAN Bencana JKR, kemas kini sehingga jam 2 petang tadi. - Foto Twitter JKR Malaysia

Cerun terus dipantau

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya mengarahkan syarikat penyelenggara cerun di lebuh raya dan jalan raya membantu pihak konsesi jalan raya membersihkan runtuhan.

Selain membersihkan runtuhan, Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Pintas Utama Sdn Bhd akan terus menjalankan tugas hakiki untuk penyenggaraan dan pembaikan cerun.

Beliau berkata, syarikat itu juga mengambil tindakan pencegahan di kawasan berkenaan bagi keselamatan jangka masa panjang.

Katanya, kementerian itu memandang serius keselamatan cerun dengan mengambil usaha memantau petanda awal kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun terutama pada musim hujan.

"Sehingga Februari 2017, sebanyak 16,453 cerun didaftarkan di Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia dengan 946 cerun diklasifikasikan sebagai Berisiko Sangat Tinggi.

"Sebanyak 1,551 cerun Berisiko Tinggi; 2,307 sebagai Sederhana; 5,122 Rendah dan 6,528 cerun sebagai Berisiko Sangat Rendah," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Fadillah berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut mengadakan kempen kesedaran dan pendidikan melalui klip video yang disiarkan semua stesen televisyen untuk menyampaikan maklumat berkaitan cerun seperti tanda awal tanah runtuh.


CERUN batuan di Taman Bukit Permai, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Selain itu, katanya, JKR juga turut menghasilkan iklan dalam pelbagai bahasa yang dihebahkan melalui akaun rasmi Twitter Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR iaitu @CerunJKR.

"Dalam memastikan pemantauan cerun yang berkesan, JKR juga menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak lain, seperti pihak berkuasa tempatan untuk memastikan semua saluran longkang terutamanya berhampiran cerun, bebas daripada sebarang sampah.

"Pembaikan awal terhadap longkang bermasalah berhampiran cerun dan tembok penahan juga dapat mengelakkan kejadian lebih teruk seperti kegagalan cerun, tanah runtuh dan sebagainya terutamanya pada musim hujan," katanya.

Berita Harian X