Khamis, 9 November 2017 | 7:15pm
AHLI Undangan Negeri Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad (kanan) berkata sesuatu kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng (kiri) di luar dewan selepas sesi mesyuarat kedua penggal kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ketiga belas di Georgetown. - Foto Ramdzan Masiam

Guan Eng salahkan Kedah banjir lambat surut

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyalahkan Kedah sebagai punca banjir di kawasan Seberang Perai masih belum surut.

Katanya, banjir di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) sepatutnya sudah surut lebih awal, namun berlarutan kerana limpahan air dari negeri jiran itu.

Beliau berkata, banjir setinggi hampir satu meter itu menyebabkan ramai mangsa di kedua-dua daerah berkenaan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

"Banjir di kebanyakan tempat di negeri ini sudah surut, melainkan beberapa kawasan di SPU dan SPT yang menerima air dari Kedah. Banjir di negeri itu (melimpah ke negeri ini) adalah faktor besar.

"Selama ini Pulau Pinang perlu bayar untuk bekalan air dibekalkan Kedah, adakah kali ini mereka akan bayar kepada kita untuk limpahan air (banjir) ini juga?," katanya ketika menyampaikan kenyataan khas pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Guan Eng turut menyalahkan Jabatan Meteorologi Malaysia yang didakwanya gagal memberi amalan awal kepada penduduk Pulau Pinang berhubung bencana terbabit.

"Mereka hanya mengeluarkan amaran hujan peringkat merah menerusi laman web pada jam 9.30 malam 4 November lalu, beberapa jam sebelum banjir," katanya.

15340 dibaca
Berita Harian X