Khamis, 9 November 2017 | 9:37pm

Kanta lekap kosmetik diwarta sebagai peranti perubatan

KUALA LUMPUR: Peniaga tidak lagi boleh menjual kanta lekap tanpa kuasa atau kosmetik sewenang-wenangnya sama ada menerusi dalam talian, di pasar malam, kios pusat beli-belah atau bazar.

Ini berikutan Kementerian Kesihatan mewartakan produk itu sebagai peranti perubatan, berkuat kuasa 1 Januari tahun depan, menerusi mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), bertarikh 7 November 2017.

Langkah itu, membolehkan pihak berkuasa bertindak memantau, merampas dan menghalang penjualan kanta lekap kosmetik untuk diambil tindakan.

TINJAUAN penjualan kanta lekap di sekitar ibu kota.. - Foto Rosela Ismail
TINJAUAN penjualan kanta lekap di sekitar ibu kota.. - Foto Rosela Ismail

Kegagalan mematuhi Perintah Peranti Perubatan (Perisytiharan) 2017 akta berkenaan, antara lain boleh menyebabkan mereka dihukum denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika gagal mendaftar kanta lekap kosmetik yang diimport, eksport atau dijual.

Perintah itu yang disiarkan di laman web rasmi e-Warta Persekutuan Jabatan Peguam Negara, dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam melalui kuasa yang diberikan kepada beliau mengikut Seksyen 2, akta berkenaan.

Menurut tafsiran perintah itu, kanta lekap pembetulan bermaksud kanta lekap yang tidak digunakan untuk membetulkan, memulihkan atau meringankan apa-apa keabnormalan refraktif atau kecacatan optik pada penglihatan.

Warta itu memperincikan pihak yang mengimport, mengeksport atau memasarkan kanta lekap tanpa pembetulan sebelum tarikh permulaan kuat kuasa perintah itu perlu mendaftar kanta lekap dalam tempoh enam bulan mengikut Seksyen 6 Akta 737 dan memohon lesen establismen mengikut Seksyen 16 akta sama.

PENJUALAN kanta lekap tanpa pemantauan pihak berkuasa. - Foto Rosela Ismail
PENJUALAN kanta lekap tanpa pemantauan pihak berkuasa. - Foto Rosela Ismail

Bagi pihak yang membuat permohonan bagi pendaftaran kanta lekap tanpa pembetulan dan lesen establismen mengimport mengikut subperenggan (1) pula boleh terus mengimport, mengeksport atau memasarkan kanta lekap tanpa pembetulan sementara menunggu keputusan permohonan.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Optik Malaysia (MOM), Nor Azizah Ismail, berkata pewartaan kanta lekap kosmetik mengikut Akta 737 membolehkan pihak berkuasa memantau penjualan produk itu dengan lebih berkesan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada BH kerana menyiarkan laporan mengenai isu ini sehingga membolehkan kanta lekap kosmetik diwartakan sebagai peranti perubatan. Isu ini amat serius kerana penggunaan kanta lekap kosmetik yang dijual pihak tidak bertauliah boleh membahayakan penggunanya," katanya.

BH dalam laporan eksklusif sebelum ini melaporkan lambakan kanta lekap kosmetik yang dijual berleluasa di negara ini tidak dilindungi Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan Akta Optik 1991, berisiko memudaratkan penggunanya termasuk menyebabkan buta.

KANTA lekap kini diwartakan sebagai peranti perubatan. - Foto Rosela Ismail
KANTA lekap kini diwartakan sebagai peranti perubatan. - Foto Rosela Ismail

Mengikut Akta Optik 1991, hanya optometris dan juruoptik diperakui dan disahkan Kementerian Kesihatan sahaja boleh menjual kanta lekap. Ini bermakna, penggunaannya perlu mendapat preskripsi pakar mata yang akan memberi garis panduan penggunaannya.

Penjual kanta lekap yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 bagi kesalahan pertama dan penjara enam bulan bagi kesalahan seterusnya.

KEMENTERIAN Kesihatan mewartakan kanta lekap kosmetik sebagai peranti perubatan mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) berkuat kuasa 1 Januari 2018.
KEMENTERIAN Kesihatan mewartakan kanta lekap kosmetik sebagai peranti perubatan mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) berkuat kuasa 1 Januari 2018.

INFO

Akta Peranti Perubatan 2012

    Diwartakan pada 9 Februari 2012

Dikuatkuasakan pada 30 Jun 2013

Mewajibkan pengeluar peranti perubatan mendaftar produk mereka bagi menjaga kualiti produk dalam negara.

Hukuman mengikut Akta Peranti Perubatan 2012:

Tidak mendaftarkan peranti perubatan

    Denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Tidak mendapatkan Lesen Establismen

    Denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. 

Tidak mematuhi syarat-syarat Lesen Establismen

    Pemegang lesen yang melanggar syarat lesen mengikut Seksyen 19(1) Akta 737, jika boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Penerusan aktiviti Establismen sementara lesen dibatalkan, digantung, ditarik balik atau tidak diperbaharui

    Jika Lesen Establishmen digantung atau dibatalkan, ditarik balik atau tidak diperbaharui dan terus mengimport, mengeksport dan menjual, boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau kedua-duanya.

Pengendalian peranti perubatan yang ditetapkan tanpa permit

    Individu yang didapati mengendalikan peranti perubatan yang ditetapkan tanpa permit peranti perubatan yang ditetapkan boleh, jika disabitkan , didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X