Jumaat, 10 November 2017 | 11:37am
PRESIDEN Persatuan Sandakan (STAN), Johnny Lim.

Kaji semula keputusan hentikan operasi MASwings

[email protected]

SANDAKAN: Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) mahu kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menghentikan operasi MASwings di enam laluan di Sabah dan Sarawak yang turut membabitkan daerah ini.

Presidennya, Johnny Lim, berkata ia akan memberi kesan buruk khususnya terhadap sektor pelancongan di Sandakan jika MASwings menghentikan operasinya, manakala syarikat penerbangan komersil AirAsia tidak bersedia untuk menggantikan operasi itu.

Ketika ini, katanya, Sandakan hanya mempunyai penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Tawau, manakala MASwings memainkan peranan utama untuk sektor pelancongan di daerah ini kerana jumlah penerbangan yang tidak banyak dalam sehari.

"Jika MASwings menghentikan operasinya di daerah ini, sudah tentu akan beri kesan besar terhadap penduduk, khususnya pengusaha pelancongan.

"Dengan jumlah kedatangan pelancongan yang kurang, kami terpaksa berdepan cabaran lain apabila laluan penerbangan dibatalkan," katanya di sini, sebentar tadi.

Rabu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkata, MASwings akan menghentikan operasi untuk enam laluan di Sabah dan Sarawak menjelang tahun depan untuk memberi laluan kepada syarikat penerbangan komersial.

Keputusan itu susulan kajian Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) terhadap Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang mendapati enam laluan sedia ada yang dikendalikan bersama oleh MASwings dengan syarikat penerbangan komersil seperti Malaysia Airlines dan AirAsia mempunyai faktor beban tinggi hingga 86 peratus, menjadikannya lebih menguntungkan bagi syarikat penerbangan komersial.

Laluan itu adalah Kota Kinabalu - Sandakan; Kota Kinabalu - Tawau; Kota Kinabalu - Miri; Kuching - Miri; Kuching - Kota Kinabalu dan Kuching - Sibu.

Johnny berkata, pengusaha pelancongan di Sandakan berharap operasi MASwings di daerah ini tidak dihentikan sehingga ada perancangan lebih baik.

"Baru-baru ini, syarikat penerbangan Cebu Pasific yang sepatutnya melakukan penerbangan pertama dari Sandakan ke Zamboanga, Filipina pada 28 Oktober dibatalkan tanpa sebarang sebab yang kita ketahui.

"Kita harap kerajaan mencari langkah penyelesaian terbaik sebelum menghentikan operasi MASwings di daerah ini dengan mengambil kira kesan teruk yang bakal dialami pengusaha pelancongan," katanya.

Berita Harian X