Sabtu, 11 November 2017 | 7:38am
Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin mengetuai senarai 624 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-48, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin mengetuai senarai 624 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-48, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

624 terima darjah kebesaran, pingat Kelantan

KOTA BHARU: Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin mengetuai senarai 624 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-48, hari ini.

Azizan adalah penerima tunggal dikurniakan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.

Tiga penerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK), yang membawa gelaran Datuk terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nik Kazim Nik Yusoff.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mat (tengah) menunjukkan senarai nama penerima bintang dan darjah kebesaran Negeri Kelantan pada sidang media mengenai Pengurniaan Kehormatan Negeri Kelantan Bagi Tahun 2017 dan Pemasyhuran Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Yang Ke 48 di Istana Balai Besar. - Foto BERNAMA
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mat (tengah) menunjukkan senarai nama penerima bintang dan darjah kebesaran Negeri Kelantan pada sidang media mengenai Pengurniaan Kehormatan Negeri Kelantan Bagi Tahun 2017 dan Pemasyhuran Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Yang Ke 48 di Istana Balai Besar. - Foto BERNAMA

Enam penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periuk, Mohamad Awang dan Ahli Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Wan Hassan Wan Muhammad.

Tujuh penerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) membawa gelaran Datuk termasuk Panglima Markas 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar; Panglima Markas Briged Artileri Roket, Brigediar Jeneral Wee Han Siew dan Juruiring Tentera Darat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Brigediar Jeneral Mohd Zulkipli Mohd Zahir.

Seramai 12 penerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) membawa gelaran Datuk termasuk Duta Besar Malaysia ke United Arab Emirates (UAE), Syed Md Hasrin Tengku Hussin; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dr Mohd Gazali Abas; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Yahya Mamat dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty.

Lapan penerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan & Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zullkifli Yahya; Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad.

Istiadat pengurniaan yang berlangsung di Istana Balai Besar, di sini, turut menyaksikan Ketua Biro Berita Harian (BH) Kelantan, Anwar Aminuddin Mat Hussin dan Ketua Biro Utusan Media Sales (M) Sdn Bhd, Azran Fitri Abdul Rahim dikurniakan Bintang Seri Mahkota Kelantan (SMK).

Seramai 55 penerima Pingat Setia Mahkota Kelantan (PS) termasuk Pemberita Harian Metro, Rosliza Mohamed.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, berkata sempena ulang tahun keputeraan baginda kali ini, Sultan Muhammad V berkenan melantik seramai sembilan Jaksa Pendamai (JP).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X