Sabtu, 11 November 2017 | 7:06pm
KETUA Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Kelantan, Nubli Ab Latif bersama Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jaafar bergambar dengan orang ramai pada Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama Guru di Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

BH rai guru 132 sekolah Kelantan

KOTA BHARU: Kira-kira 300 guru dari 132 sekolah rendah dan menengah seluruh Kelantan yang melanggan BH, diraikan pada majlis penghargaan, di sini hari ini.

Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama Guru itu bagi menghargai sekolah yang setia melanggan sisipan pendidikan BH, iaitu Didik, Minda dan Skor.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Kelantan, Nubli Ab Latif, berkata sisipan pendidikan BH wajar dijadikan bahan bantu mengajar di sekolah kerana terbukti berjaya meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Malah, beliau berkata, sisipan berkenaan juga mampu membantu pelajar menjadi kreatif dan inovatif.

"Penggunaan akhbar dalam bentuk cetak dan digital ini dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar, menjadikan mereka berpengetahuan, sesuai dengan visi kerajaan mengangkat sektor pendidikan ke arah lebih baik.

"Kandungan sisipan pendidikan disediakan BH memang mengikut format dan silibus pembelajaran terkini seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan," katanya.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Alfian Abu Talib; Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jaafar serta Pengurus Kanan Jabatan Jualan Akhbar dan Pengedaran NSTP, Zattul Iffah Mohamad Zaidi.

Pada program santai selama tiga jam itu, guru turut diberi peluang menyuarakan pandangan dan pendapat kepada Unit Pendidikan BH dan mendapat jawapan secara terus.

Majlis turut diisi persembahan vokalis kumpulan Flop Poppy, Andy serta gerai jualan dan promosi produk BH termasuk buku dan portal pendidikan komprehensif dibangunkan NSTP, 'FullAMark'.

Kelantan negeri keempat dikunjungi dalam program Sepetang Bersama BH selepas Kedah, Melaka dan Terengganu yang selepas ini akan diteruskan di Selangor.

Berita Harian X