Ahad, 12 November 2017 | 12:35pm
USTAZ Dr Zamihan Md Zin AlGhari.

'Zamihan, fikir sebelum cakap'

JOHOR BAHRU: "Berhenti bercakap, berfikir dulu sebelum buka mulut dan jangan sensasikan keadaan".

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, tegas memberi peringatan kepada Zamihan Mat Zin susulan penyebaran video terbaru pendakwah itu mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Nur Jazlan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kecewa dengan sikap Zamihan yang sebelum ini mencabar institusi diraja dan keagamaan sebelum ditambah dengan kecaman terhadap Perdana Menteri.

"Dia anggota kerajaan dan kenyataan dituturkan secara peribadi itu menggambarkan imej dan integriti KDN," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Sarapan Pagi Bersama Rakyat, di Taman Cempaka di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai video pendakwah kontroversi itu mengkritik Najib dengan menyifatkan pentadbirannya 'kurang cerdik' kerana memberikan tanah seluas 16 hektar kepada Arab Saudi untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya.

Idea penubuhan KSCIP dibincangkan dalam lawatan Raja Salman ke Malaysia pada Februari lalu. Pusat itu beroperasi di pejabat sementara di Kuala Lumpur sejak akhir Mei lalu.

Video itu dirakam daripada ceramah di sebuah masjid di Selangor pada 11 Julai lalu sebelum dimuat naik, 23 Oktober lalu.

Zamihan dikatakan pakar dan aset penting kerajaan dalam program pemulihan tahanan suspek militan.

Nur Jazlan berkata, KDN tidak mempertikaikan kewibawaan Zamihan dalam menjalankan tugas untuk mendamaikan mereka yang terbabit dalam keganasan.

"Saya minta Ustaz Zamihan berhenti daripada bercakap, berfikir dulu sebelum bercakap dan jangan sensasikan keadaan yang agak tegang sekarang.

"Ini ditambah dengan keadaan di Arab Saudi, Lebanon dan Daesh. Beliau perlu memantau pertuturan yang boleh menimbulkan masalah, jadi saya minta dia berdiam," katanya.

Nur Jazlan tidak menolak kemungkinan KDN menilai semula kedudukan Zamihan dalam kementerian itu jika terus mengeluarkan kenyataan kontroversi.

Berita Harian X